DUNGUN - Dari tahun ke tahun dan setiap kali tibanya tahun baharu, isu yang seringkali membelenggu masyarakat ialah mengenai kenaikan kos sara hidup dan harga barang.

Golongan peniaga khususnya yang mencari rezeki dengan menjual makanan boleh dikatakan paling cepat menerima kesannya.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar daerah ini mendapati rata-rata peniaga makanan terkesan dengan peredaran masa dan tahun baharu sudah tentu memberi cabaran lebih besar kepada mereka.

Peniaga apam balik yang sudah lebih 10 tahun berniaga di Pusat Niaga Paka, Ermawati Mad Maashim, 49, berkata, setiap kali tibanya tahun baharu sudah tentu ada cabaran tetapi sebagai peniaga dia perlu bijak.

Menurutnya, paling penting para peniaga mestilah meletakkan tanda harga makanan yang dijual supaya pelanggan lebih jelas.

“Sepanjang saya berniaga berpuluh-puluh tahun, setiap kali tahun baharu memang berlaku kenaikan bahan mentah.

“Jika perlu kita terpaksa juga menaikkan harga barang jualan bagi mengelak rugi khususnya bila tiba bulan puasa.

“Makanan yang kita jual mestilah berpatutan harganya dan kualiti terutama aspek kebersihan terjamin.

“Bagi mengelak kekeliruan atau menyusahkan pelanggan, memang saya sudah meletakkan tanda harga untuk setiap produk dijual.

“Langkah ini tidak akan mengecewakan pelanggan dan kita perlu bijak mengatasi cabaran serta halangan demi  mencari rezeki,” katanya.

Manakala, peniaga di Taman Awam Sura Jeti, Muhammad Isafarif Ismadi, 20, berkata, tidak dinafikan tahun 2017 semakin mencabar tetapi sebagai peniaga dia perlu harunginya.

“Memang tahun ini harga bahan mentah yang saya digunakan untuk berniaga lebih banyak naik contohnya minyak masak, keropok, pisang.

“Walaupun bahan mentah naik, setakat ini harga jualan masih lagi kekal dan kami tidak berhasrat untuk meletakkan harga lebih tinggi buat masa sekarang.

“Selain isu kenaikan harga barang banyak lagi masalah dan cabaran lain termasuk persaingan.

“Sudah lima tahun kami berniaga di sini dan kenaikan harga bahan  mentah sudah menjadi perkara biasa,” katanya.

Seorang lagi peniaga di Taman Awam tersebut, Abd Jalil Abdullah, 51 berkata, tahun baharu bukan sahaja memberi cabaran baharu tetapi sebagai peniaga pelbagai lagi masalah lama terus membelenggu.

“Sebagai peniaga memang banyak cabaran tetapi perlu ditangani dengan baik.

“Contohnya di tapak niaga di sini tiada kemudahan air paip dan kami terpaksa angkut dari masjid atau membawanya dari rumah.

“Jika hujan tapak niaga turut terkena tempias dan jika boleh sudah tentu kami inginkan kemudahan lebih baik.

“Dari segi harga bahan mentah contohnya sayur dan daging burger memang berlaku kenaikan.

“Bagaimanapun, kami sebagai peniaga akan berusaha memberikan yang terbaik kepada pelanggan,”katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA SELANGOR - Bekalan kerang yang terhad sejak dua tahun kebelakangan ini menyebabkan penduduk merungut lebih-lebih lagi kemungkinan mereka 'kempunan' untuk menikmati rendang kerang menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
  • TAIPING - Seramai 2,600 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan terbabit dalam pemantauan Skim Kawalan Harga sempena Hari Raya Aidilfitri, bermula hari ini.
  • GUA MUSANG - Peniaga di bazar Ramadan melahirkan kebimbangan untuk meneruskan perniagaan apabila harga borong ayam mentah sudah mencecah RM8.40 sekilogram.
  • KUALA TERENGGANU - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada sebuah kedai makan di Kemaman kerana mengenakan caj harga tidak munasabah.
  • KUALA TERENGGANU - Harga sotong di Terengganu dilaporkan melambung tinggi walaupun pada musim mencandat berikutan permintaan pengguna terhadap hasil laut itu yang dikatakan meningkat mendadak ketika ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.