DUNGUN - Sejak Jumaat lalu, kisah seorang pelajar, Mohd Kamil Hakimi Jamaluddin, 18, yang didakwa hidup dalam kemiskinan sehingga tidak mampu melanjutkan pelajaran menjadi tular di media sosial terutamanya Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Pelbagai dakwaan dan tohmahan timbul mengatakan keluarga dari Lorong Gelam, Gong Pasir itu tidak mendapat pembelaan dan dipinggirkan dari menerima bantuan yang sepatutnya.

Berdasarkan isu yang ditular, remaja itu dikatakan tidak dapat meneruskan persekolahan kerana kemiskinan dan ibunya, Rokiah Mohd Nor, 41, pula mengalami masalah buah pinggang.

Bagaimanapun, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun (SMSD) itu tidak tahu menahu kisah hidupnya tersebar luas dan agak terkejut apabila isu tersebut menimbulkan pergaduhan serta perdebatan oleh pelbagai pihak.

Mohd Kamil berkata, keadaan sebenar tidak seteruk yang diviralkan dan keluarganya tidak pernah diabaikan.

Menurutnya, dia agak segan dan malu apabila isu itu diperbesar dan disalah tafsir sesetengah pihak.

“Memang ibu saya menghidap sakit buah pinggang tetapi ayah saya masih mampu menyara kami enam beradik. Dengan pendapatan lebih kurang RM1,500 sebulan, pelajaran kami tidak pernah keciciran.

“Pada asalnya info yang diviralkan hanya dihebahkan seorang bekas guru saya untuk membantu meringankan beban kami sekeluarga tetapi ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dan memutar belit sehingga menjadi isu panas.

“Saya bukannya tidak dapat sambung pengajian kerana miskin tetapi baharu sahaja habis SPM. Sekarang tunggu panggilan untuk kemasukan ke universiti,” katanya ketika kunjungan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Din Adam ke rumah keluarganya, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai JKM Dungun, Mohd Naufal Yusoff.

'Minta hentikan isu kemiskinan'

Kata remaja yang kini bekerja di sebuah kedai kain di Bandar Dungun itu, walaupun terkejut dan malu dengan isu yang diviralkan dia sekeluarga bersyukur dengan perhatian yang diberikan oleh pemimpin tempatan.

“Habis sahaja SPM memang saya bekerja untuk bantu sara keluarga, lebih-lebih lagi saya anak sulung. Memang saya tak sangka perkara ini menjadi isu panas dan apa yang didakwa banyak tak berasas," katanya.

Dia sekeluarga meminta orang ramai tidak lagi memperbesarkan isu itu dan berterima kasih dengan segala bantuan yang diberi.

“Datuk Din juga berusaha memudahkan urusan saya untuk ke universiti dan saya tidak akan lepaskan peluang ini,” katanya.

Bapanya, Jamaluddin Hussin, 53, berkata, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidak pernah mengabaikan mereka sekeluarga.

“Saya bekerja sebagai mekanik dan memang pendapatan tidak seberapa tetapi semuanya berjalan dengan baik. Sebelum ini saya tidak pernah buat sebarang permohonan bantuan.

“Saya terharu dan berterima kasih dengan pelbagai bantuan yang dihulur, malah kami sekeluarga juga diberi bantuan untuk mendirikan rumah baharu,” katanya.

RM40,000 kos bina rumah

Sementara itu, Din berkata, tidak salah untuk membantu golongan kurang bernasib baik tetapi haruslah melalui saluran yang betul bagi mengelak isu salah faham.

Katanya, pihaknya juga menghantar bantuan segera ke rumah keluarga tersebut, malah peruntukan untuk pembinaan rumah baharu sebanyak RM40,000 telah diluluskan.

“Saya datang ke rumah bersama jabatan-jabatan kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), KPDNKK dan JKKK.

“Memang apa yang diviralkan ada betul kerana Mohd Hakimi adalah lepasan pelajar SPM tetapi bukannya tidak pergi sekolah kerana miskin," katanya.

Katanya, beliau telah menghubungi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan pihak universiti itu bersetuju untuk mengambil remaja berkenaan menuntut di situ.

"Saya akan bantu uruskan pendaftaran masuk Hakimi ke sini," katanya.

Dalam pada itu, bantuan perabot termasuk satu set bilik tidur, sofa, tilam dan tikar getah turut dihantar ke rumah keluarga itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Kerajaan Perak menafikan Bonus Rakyat Perak (BR1P) berjumlah RM750 seorang seperti yang teluar di laman sosial sejak minggu lalu.
  • IPOH - Pengurusan Restoran Kampung Ipoh terkilan status seorang pelanggan yang dilihat menjejaskan imej restorannya yang menyediakan bufet Ramadan dan steamboat and grill kepada pelanggannya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.