MESKIPUN sibuk di padang latihan, namun pasukan berstatus kelab T-Team sentiasa aktif dalam program komuniti bersama masyarakat setempat sebagaimana sebelum ini khususnya apabila melibatkan kegiatan pelajar-pelajar sekolah bersama warga pendidik.

Terbaharu pemain skuad The Titans mengadakan program ramah mesra bersama warga Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Mempelam dan turut menyalurkan sumbangan wang tunai kepada kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah berkenaan.

Ketua jurulatihnya, Rahmad Darmawan berkata,  program bersama warga SK Wakaf Mempelam itu adalah yang pertama diadakan untuk musim ini sejak kempen saingan Liga Malaysia membuka tirainya Januari lalu.

Menurutnya, walaupun berdepan jadual latihan yang padat, namun pihaknya gembira apabila berkesempatan untuk beramah mesra bersama murid-murid SK Wakaf Mempelam terutamanya murid-murid istimewa PPKI di sini.

“Saya dapat lihat mereka (murid) begitu gembira dan ceria apabila dapat melakukan aktiviti sukan bersama pemain selain berpeluang mengeratkan hubungan silaturahim bersama guru-guru yang juga penyokong pasukan kami.

“Jadi kita harap kedatangan kami di sini bukan sahaja dapat memenuhi impian murid untuk berjumpa idola pemain bolasepak mereka bahkan mampu memberi suntikan semangat untuk terus cemerlang dalam bidang sukan dan juga akademik pada masa akan datang,” katanya di sini, hari ini. 

Sementara itu, Guru Besar SK Wakaf Mempelam, Kamardin Kaffi menyambut baik usaha pihak pengurusan T-Team  memilih sekolahnya bagi menjayakan program itu dan juga menjadikan murid PPKI sebagai  ‘anak  angkat’  skuad The Titans.

Katanya,  PPKI di sekolah berkenaan telah bermula sejak hampir 15 tahun lalu dan kini memiliki tiga buah kelas dengan jumlah keseluruhan 21 orang murid yang terdiri daripada pelbagai kategori antaranya termasuklah autism, masalah pembelajaran serta ‘hyper’ aktif.

“Kita sebenarnya amat berterima kasih dan juga berbesar hati di atas kunjungan pasukan T-Team ke sekolah ini kerana kami faham dengan jadual latihan pasukan yang padat apatah lagi mereka (T-Team) akan beraksi bertemu PKNS Sabtu ini.

“Maka di kesempatan ini, kami  mengharapkan pasukan T-Team mampu melakarkan kejayaan dalam kempen Liga Malaysia musim ini dan dapat meneruskan usaha murni dalam mendekatkan pasukan bersama masyarakat setempat,” katanya.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :