MARANG –  Pelarian Islam Rohingya yang kini menetap sementara di Terengganu khususnya di daerah ini bersyukur berpeluang untuk melaksanakan ibadah puasa dengan aman di negara ini.

Malah kehadiran Ramadan juga dinanti-nantikan mereka seperti mana umat Islam yang lain biarpun kebanyakan mereka kini jauh beribu batu dari kampung halaman masing-masing di Myanmar.

Muhammad Ali, 29, berkata, dia telah berada di negara ini sejak tahun 2006 lagi, berhijrah dari negaranya untuk mencari rezeki dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan demi sesuap nasi.

“Sejak empat tahun lalu, setelah saya berkahwin dan mula menetap di negeri ini.  Sudah banyak tempat saya duduk (tinggal) saya selesa tinggal di sini (Terengganu),” katanya semasa ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, pada tahun lalu dia dan isteri serta akan akan berbuka puasa secara ringkas sahaja asalkan kenyang tetapi biasanya isterinya, Minara Begum, 20, yang akan menu berbuka puasa.

“Selepas berbuka pula, biasanya saya akan menunaikan solat sunat Tarawih di surau berdekatan bersama-sama penduduk tempatan,” katanya yang bekerja sebagai pencuci kereta di Kuala Terengganu.

Seorang lagi warga Rohingya, Abdul Azez, 36, pula berkata, dia terasa agak terasing dan sedih kerana tidak berpeluang menyambut Ramadan bersama keluarga yang masih berada di Myanmar.

Namun, kesedihan itu terubat apabila dapat berkumpul bersama rakan rakan yang lain demi meraikan kedatangan Ramadan dan menyifatkan sambutan Ramadan di negara ini meriah.

“Sambutan Ramadan di sini lebih meriah dengan makanan dan keadaannya juga aman walaupun rakyat Malaysia berbilang kaum dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain,” katanya.