• ACP-K-Manoharan ACP K Manoharan
1 /

KUALA TERENGGANU - Polis berjaya menahan seorang suspek daripada tiga beradik yang diburu, bagi membantu siasatan kes mencederakan dan mengugut untuk memotong telinga seorang guru.

Ia dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati dengan tindakan guru berkenaan yang menampar anak salah seorang daripada mereka di Masjid Kayu Ulul Albab, Seberang Jertih, Besut pada 24 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek yang berjaya ditahan itu berumur 34 tahun, ditahan kira-kira jam 4.30 pagi di rumah ibu mertuanya di Kuala Besut, semalam.

Menurutnya, suspek sebelum ini bersama dua abangnya yang berumur 39 dan 47 tahun melarikan diri selepas mengetahui mangsa yang berumur 42 tahun itu membuat laporan polis.

“Bagaimanapun, hasil intipan dan maklumat oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi kes ini, suspek berjaya ditahan di rumah ibu mertuanya.

“Dia kini ditahan mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dan Seksyen 506 KK kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya kepada pemberita di pejabatnya semalam.

Katanya, pihak polis kini sedang mencari dua lagi lelaki yang dikenali sebagai Afizol Awang, 39, dan Anuar, 47, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Manoharan berkata, polis turut menahan seorang pelajar tingkatan lima yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan rakan sebayanya di sebuah sekolah di Jabi, Besut pada 9 September lalu.

Menurutnya, pelajar berumur 17 tahun itu ditahan di rumahnya di Jabi kira-kira jam 3 pagi bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 324 KK kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.