KAMPUNG BASUNG - Kedalaman sungai-sungai utama di Hulu Terengganu yang semakin cetek dikenal pasti antara salah satu faktor berlakunya banjir besar di daerah ini minggu lalu sekaligus menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berpindah.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik berkata, dua sungai utama iaitu Sungai Telemong dan Sungai Berang tidak mampu menampung jumlah air hujan yang banyak selain aliran air perlahan hingga berlakunya limpahan air sungai ke kampung berhampiran.

Menurutnya, walaupun di daerah ini saban tahun berdepan masalah banjir, namun bencana kali ini agak besar.

“Melalui pemerhatian awal didapati keadaan sungai utama semakin cetek dan kita tidak menolak kemungkinan ia mempunyai hubung kait dengan aktiviti pembalakan.

“Satu kajian secara komprehensif dan serius perlu dilakukan bagi atasi masalah banjir besar yang membimbangkan ini," katanya.

Azmi berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkaitan bagi membincangkan mengenai perkara ini.

“Kita tidak mahu banjir besar berulang di daerah ini apatah lagi ia disertai lumpur tebal di beberapa buah kampung terlibat seperti Kampung Basung.

"Keadaan ini turut menyebabkan kerja pembersihan dijangka mengambil masa,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Terengganu memaklumkan kerja pasca banjir seperti pembersihan kawasan banjir sehingga kini sudah mencapai 80 peratus.

“Pelbagai pihak termasuk sukarelawan daripada institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) telah hadir untuk menjalankan operasi pasca banjir di daerah ini. Kita ucapkan terima kasih serta alu-alukan kedatangan mereka bagi bantu mangsa terlibat," katanya.

Tambahnya, sebanyak 47 pusat pemindahan dibuka di daerah ini membabitkan 1,810 keluarga.

"Jumlah keseluruhan mangsa pula ialah seramai 5,796 orang dan antara kawasan teruk terjejas ialah kampung-kampung di Mukim Hulu Berang serta Mukim Hulu Telemong.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 3,526 orang membabitkan mangsa dari Dun Telemong, manakala Dun Kuala Berang 633 orang dan Dun Ajil melibatkan 1,637 mangsa,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA PILAH - Penduduk di beberapa kawasan yang dilanda banjir kilat terpaksa menanggung kerugian berikutan bencana alam itu menyebabkan pelbagai barangan rumah rosak.
  • ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 3,439 orang berbanding 2,873 orang, pagi tadi.
  • JITRA - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan bantuan awal RM100 kepada setiap ketua keluarga yang dipindahkan akibat banjir di negeri ini.
  • ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di Kedah setakat pukul 5 petang ini terus meningkat kepada 3,439 orang berbanding 2,873 orang pagi tadi.
  • JITRA - Sebuah lagi sekolah di Kedah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau di Pokok Sena akan ditutup esok berikutan jalan yang menghubungkan ke sekolah itu dinaiki air akibat banjir kilat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.