HULU TERENGGANU - Lembaga Tabung Haji (TH) menyampaikan sumbangan kepada waris jemaah haji, Siti Esah Mohd, 78 yang meninggal dunia ketika mengerjakan rukun Islam kelima itu  di Makkah pada 7 September lepas.

Penyampaian sumbangan Takaful Khairat Kematian, air zam-zam dan kurma itu disempurnakan oleh Pengarah TH Terengganu, Datuk Mohyen Mosman di kediaman menantu Allahyarhamah, Rashid Ali, 56,  hari ini.

Mohyen berkata, sumbangan menerusi program Ziarah TH itu diharap dapat menghilangkan rasa sedih ahli keluarga jemaah yang kehilangan insan tersayang di samping membantu meringankan beban keluarga.

"Diharapkan seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian ALLAH SWT ini.

Sehingga kini empat jemaah dari Terengganu meninggal dunia di Tanah Suci antaranya Alias Isa, 62, dari Kuala Berang pada 1 September lalu manakala Wan Abdullah Wan Embong, 77, yang dijangkiti kuman dalam darah dan paru-paru pula lima hari lalu," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengunjungi keluarga  Allahyarham di Kampung Sungai Ular, hari ini.

Siti Esah menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung di hotel penginapannya pada pukul 7.20 malam (waktu Arab Saudi) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ie, Makkah keesokan harinya.

Allahyarham merupakan guru al-Quran menunaikan haji bersama anak tunggalnya, Nor Asiah Tahir, 56 berlepas ke Tanah Suci pada 11 Ogos lepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud (LTASM) dan beliau dijadual kembali ke tanah air pada 25 September ini.

Cucu sulung Allahyarham, Fatimah Aina Rashid, 20, berkata neneknya itu pernah berbual dengan adiknya mengenai kelebihan meninggal dunia di Makkah di samping turut memberitahu anak muridnya akan hajat untuk meninggal dunia di sana,

"Ini merupakan kali ketiga wan pergi haji dan kami sekeluarga reda dengan ketentuan Allah," katanya lagi. –Bernama