PULAU DUYONG - Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk A Rahman Yahya kesal dengan sikap kakitangan awam khususnya yang berkhidmat di bahagian kaunter kerana masih mengamalkan budaya tidak sopan dan tidak mesra ketika berurusan dengan rakyat.

Menurutnya, tindakan itu jelas menggambarkan bahawa teguran yang dibuat Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar supaya kakitangan awam bersikap mesra, sopan dan tidak memilih kasih dalam melaksanakan tugas tidak diendahkan.

Beliau turut berkongsi pengalaman anak dan isterinya baru-baru ini yang pergi ke sebuah pejabat tanah dan daerah untuk menyelesaikan dokumen.

“Ketika berurusan dengan salah seorang kakitangan, dia memaklumkan bahawa pegawai bertugas tiada dalam nada dan layanan yang tidak sepatutnya.

“Bayangkan yang berurusan itu datang dari jauh dan terpaksa pula mendapat layanan yang mendukacitakan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu 2018 di Dewan Konvensyen, Duyong Marina & Resort di sini, semalam.

A Rahman berkata, semua ketua jabatan diminta untuk sentiasa memantau kakitangan di bawah mereka supaya menjalankan tugas dengan sebaiknya.

“Saya sangat memandang serius mengenai sikap dan kelakuan penjawat awam khususnya bagi mereka yang berurusan secara langsung dengan pelanggan.

“Sebagai kakitangan yang bertanggungjawab mereka seharusnya memikul tugas dan menjaga nama jabatan dengan sebaiknya agar setiap perancangan yang dibuat sampai kepada rakyat secara menyeluruh,” katanya.