KUALA TERENGGANU – Amanah Terengganu menegaskan bahawa sudah sampai waktunya Pakatan Harapan termasuk di negeri ini menerima kenyataan bahawa rundingan dengan Pas sudah sampai di penghujung sebagaimana diputuskan oleh Pusat.

Perkara itu masih menjadi pertikaian dalam kepimpinan PKR berikutan terdapat pihak menolak rundingan dengan Pas manakala sebahagian masih mahu meneruskannya.

Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Pakatan Harapan perlu menerima hakikat berhubung rundingan dengan Pas yang sehingga kini tidak menunjukkan respons positif apatah lagi kenyataan jelas mengenai perkara itu telah dikeluarkan beberapa kali oleh pimpinan Pas di peringkat Pusat dan negeri.

“Saya rasa sudah sampai waktunya kita menerima kenyataan dan hakikatnya kita dah di penghujung rundingan dengan mereka,” katanya ketika sidang media di pejabatnya, di sini.

Beliau menyifatkan keputusan Pakatan Harapan tidak bermaksud meminggirkan kewujudan Pas yang juga parti pembangkang, namun sebarang rundingan sudah tentu menetapkan ‘dateline’ atau tarikh tamat.

Bagaimanapun katanya, sekiranya sebarang usaha tidak berhasil selepas sampai tarikh ditentukan, langkah terbaik adalah bergerak bersendirian tanpa Pas.

“Tun Mahathir sudah beberapa kali menyatakan (tarikh tamat) dan saya masih ingat (tarikh tamat) akhir tahun lepas Disember dan anjak pula kepada Januari. Jadi perkara dateline ini kita sudah banyak kali (buat).

“Kita tidak menolak rundingan tetapi rundingan itu mesti ada satu framework atau time frame di mana ia mesti dimuktamadkan atau dihentikan.

"Maknanya kalau sudah tiada jalan untuk diteruskan, kita mestilah menghadapi realiti kita tanpa Pas,” katanya.

Raja Bahrin yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, secara umumnya mana-mana parti tidak menolak untuk berunding dengan Pas dan menyifatkan kerjasama dengan semua parti pembangkang sebagai situasi ideal.

Bagaimanapun katanya, keadaan lebih sukar jika parti-parti pembangkang memperlihatkan sikap tidak konsisten apabila ada yang bertindak membangkang manakala yang lain bersikap berkecuali.

Sehubungan itu katanya, kata pemutus oleh Pakatan Harapan boleh mengelak tanda tanya dan persoalan besar rakyat termasuk ahli-ahli Pakatan Harapan berkait isu kerjasama dengan Pas.

“Memang hasrat kita hendak semua pembangkang bersama dalam satu bahtera menuju ke arah yang sama (tetapi) kalau ada yang berkecuali, berdolak-dalih, saya rasa susahlah untuk bergerak kerana matlamat tidak sehaluan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KULAI - Amanah Johor mendakwa kecewa apabila tiada tindakan serius diambil oleh Kerajaan Negeri Johor berhubung pencemaran sungai di negeri itu.
  • IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memperjelaskan dakwaan bahawa penganugerahan Brandlaurette diterimanya adalah anugerah yang dibayar.
  • IPOH - Amanah Perak akan membuat pendedahan berhubung isu penerimaan anugerah yang diterima Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir minggu depan.
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri mengumumkan penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) yang menjadi platform bagi kerajaan untuk merencana, menyelaras dan memantau urusan berkaitan industri minyak dan gas di negeri ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.