KAMPUNG MENERONG - Kemudahan stor penyimpanan barang yang dibina berdekatan rumah peserta Projek Penempatan Semula Kampung (PPSK), di sini, dilihat berkesan dan terbukti mampu mengurangkan risiko kerugian dialami penduduk akibat banjir.

Seorang mangsa banjir, Mazlan Mohamad, 34, berkata, kemudahan disediakan Felcra beberapa tahun lalu itu juga membuatkan penduduk tidak terus diselubungi kebimbangan kerana barangan mereka berada di tempat selamat.

“Kawasan penempatan ini saban tahun dilanda banjir, biasanya penduduk bina rak khas dalam rumah untuk letak barang-barang agar tidak ditenggelami air. Namun, ia tidak dapat muatkan banyak barang selain kurang mampu tampung berat berlebihan.

“Mahu atau tidak, penduduk tetap alami kerugian terutamanya melibatkan peralatan elektrik. Adanya stor penyimpanan barang dibina dengan tiang melebihi dua meter ini, risiko kerugian dapat dikurangkan.

“Rak khas dalam rumah masih dibina untuk simpan barang yang tidak begitu berat. Lagipun biasanya air naik mendadak, jika tidak sempat pindah ke dalam stor sekurang-kurangnya boleh diletak atas rak,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Mazlan, walaupun banjir telah surut namun dia dan isterinya, Norafidah Mohd, 27, membuat keputusan untuk tidak menurunkan semua barangan daripada stor ke dalam rumah buat sementara waktu ini berikutan keadaan cuaca masih lagi tidak menentu.

Katanya lagi, hanya barang yang perlu sahaja diambil kerana mereka bimbang kejadian banjir berulang lagi dan sepanjang musim tengkujuh kali ini dia sekeluarga sudah melalui tiga gelombang banjir sejak 31 Disember lalu.

Bagi seorang lagi mangsa banjir, Norasikim Nawyi, 22, berkata, kemudahan stor itu sememangnya praktikal dibina bukan sahaja di penempatan tersebut tetapi juga di kawasan sering terjejas banjir kerana ia sememangnya dapat kurangkan risiko kerugian harta benda.

“Namun, persiapan awal harus dilakukan bagi memindahkan barang ke dalam stor. Jika menunggu saat-saat akhir mungkin tidak sempat jika air naik mendadak dan ia sekali gus menyebabkan penduduk tetap berdepan kerugian.

“Kaedah bina stor penyimpanan barang ini boleh juga dilaksanakan di tempat-tempat lain terutamanya penduduk di sesebuah kampung yang sering banjir. Barang boleh disimpan sehingga musim tengkujuh berakhir.

“Memandangkan risiko berlaku banjir masih ada kerana musim tengkujuh belum berakhir, banyak barang-barang dalam rumah masih berada dalam stor serta di rak khas dibina depan rumah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Menerong, Zainuddin Mohammad berkata, kemudahan stor penyimpanan barang itu disediakan Felcra sekitar empat tahun lepas berikutan penempatan yang mula dibuka sekitar 2007 itu saban tahun dilanda banjir.

“Pembinaan stor dibina secara berfasa ini sebagai salah satu inisiatif membantu peserta PPSK Menerong yang sering terjejas banjir. Sehingga kini terdapat lebih kurang 30 stor dibina berdekatan rumah peserta terlibat banjir,” ujarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta supaya tidak berharap sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek-projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam usaha menangani masalah banjir di negeri ini.
  • TELUK INTAN - Persediaan awal menghadapi kemungkinan musibah banjir di beberapa kawasan dalam parlimen ini perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
  • KERAYONG - Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Triang terutama Kampung Paya Pagar diminta terus peka dengan kenaikan air sungai demi keselamatan ahli keluarga masing-masing.
  • KUALA LIPIS - Penduduk Kampung Kuala Medang di sini sentiasa bersiap sedia menghadapi banjir apabila tiba musim tengkujuh namun kesemua kira-kira 150 daripada 1,000 penduduk tetap perlu diberi tumpuan utama jika musibah itu berlaku.
  • ALOR SETAR - Bukan sekali tetapi 11 kali terpaksa berdepan banjir dalam tempoh sebulan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.