KEMAMAN - Penantian pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang mahukan lebuh raya  itu dilengkapi stesen minyak akhirnya hampir menjadi kenyataan apabila dua stesen minyak dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, Dungun yang kini dalam pembinaan dijangka beroperasi sebelum Hari Raya Aidilfitri, Jun nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata, stesen minyak Shell itu dibina untuk kedua-dua arah iaitu arah Kuantan dan Kuala Terengganu.

Menurutnya, selain Shell, stesen minyak Petron juga sedang dibina di Perasing, Kemaman yang mana pembinaan setiap stesen minyak itu menelan belanja sekitar RM5 juta hingga RM6 juta.

Katanya, projek pembinaan stesen minyak di LPT2 berbeza di jalan biasa kerana modal pembinaannya dikeluarkan sendiri oleh pemilik tanah.

"Pembinaan stesen minyak ini pula bergantung kepada permintaan yang dilihat berpandukan jumlah aliran trafik di sepanjang lebuh raya ini.

"Setakat ini, jumlah aliran trafik yang direkodkan di LPT2 setiap hari berjumlah 25,000 kenderaan dan kita sasarkan jumlah aliran trafik ini meningkat 50,000 pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan 'walkabout' ke Program Jom Kerja 3.0 Tahun 2018 di Majlis Perbandaran Kemaman, semalam.

LPT2 yang meliputi jajaran sejauh 184 kilometer dari Jabor ke Gemuroh, Kuala Nerus dibuka sepenuhnya kepada orang ramai sejak Januari 2015 namun ketiadaan stesen minyak menyebabkan pengguna merungut kerana bimbang kehabisan bahan api ketika melalui lebuh raya itu.

Bagi mengatasi masalah itu, stesen minyak mini dibuka di R&R Kijal pada 2016 dan sedikit sebanyak dapat membantu pengguna lebuh raya itu yang kehabisan minyak selain ramai antara pengguna juga terpaksa bersiap sedia mengisi minyak lebih awal sebelum melalui LPT2.

Sementara itu, Rosli yang juga Adun Kemasik berkata, syarikat konsesi LPT2, Plus Malaysia Berhad membelanjakan peruntukan sebanyak RM27 juta untuk penyelenggaraan lebuh raya itu pada tahun lalu.

Rosli membuat pendaftaran ketika hadir meninjau Program Jom Kerja 3.0 Tahun 2018 di MPK semalam.

"Saya jangkakan untuk tahun ini juga, jumlah sama juga akan dibelanjakan untuk penyelenggaraan ia termasuk untuk membaik pulih pagar lebuh raya yang runtuh dan permukaan jalan yang beralun," katanya.

Ditanya mengenai rungutan pengguna lebuh raya itu mengenai garisan putih di sesetengah kawasan di lebuh raya itu yang semakin pudar dan boleh mengundang kemalangan, tegas beliau, masalah itu akan turut diatasi.

"Kita sekarang ke arah pengurusan lebuh raya yang mampan, dari segi pengurusnya, Plus memang kita tahu ada pengalaman. Lebuh raya kita punya standard tinggi, cuma ada beberapa perkara perlu dibaiki contohnya pagar," katanya.