KUALA NERUS - Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Terengganu masih dalam proses membuat pengesahan terhadap 272 syarikat di negeri itu sama ada terlibat dengan pelaksaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) atau sebaliknya.

Pengarahnya, Datuk Radzi Muhamad berkata, ketika ini 679 syarikat telah disahkan terlibat dengan pelaksanaan sistem cukai baharu yang bermula 1 September lalu itu.

Jelasnya lagi, secara keseluruhan sebanyak 951 syarikat yang sebelum ini terlibat dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah didaftarkan secara automatik, namun hanya 679 disahkan terlibat dengan pelaksanaan sistem baharu berkenaan.

"Pengesahan ini akan menentukan syarikat mana yang kena cukai dan mana yang tidak...contohnya, sebelum ini syarikat berdaftar sebagai pengilang sedangkan ia adalah pedagang.

"Pengesahan juga akan mengambil kira sama ada syarikat tersebut melepasi nilai ambang RM500,000 atau tempat penyediaan makanan seperti restoran melepasi nilai ambang RM1.5 juta, jika tidak lepas nilai ini, kita akan batalkan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan pematuhan SST Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  bersama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) di salah sebuah hotel di sini.

Hadir sama Pengarah KPDNHEP Negeri Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Menurut Radzi lagi, pihaknya akan turun padang ke syarikat dan kilang untuk membuat pengesahan atau pemilik boleh datang sendiri ke jabatan itu untuk membuat rujukan atau pertanyaan.

"Pihak KDRM juga berharap agar tidak ada pemilik syarikat atau kilang yang cuba mengambil kesempatan bagi memastikan proses pelaksanaan SST berjalan lancar,"katanya.