KUALA TERENGGANU – Terengganu terus melakar sejarah dalam bidang pendidikan apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 merekodkan peningkatan dengan Gred Purata Keseluruhan (GPK) negeri 4.90 mengatasi GPK kebangsaan 4.97.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, ini merupakan kejayaan yang membanggakan bagi 2017 dan menyamai pencapaian terbaik yang pernah dicapai Terengganu dalam SPM.

Menurutnya, seramai 278 calon memperoleh keputusan cemerlang A bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu, termasuk tiga calon yang memperolehi A+ bagi semua mata pelajaran.

“Tiga pelajar terbaik itu ialah Muhammad Khairul Azri Mohd Khalid dari Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan Muhammad Syauqellah Razali (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik) yang masing-masing memperolehi 11A+.

“Seorang lagi calon iaitu Nur Ellena Elmie dari SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Nerus pula memperolehi 9A+," katanya pada sidang media pengumuman SPM di pejabat Jabatan Pendidikan Terengganu, di sini hari ini.

Manakal calon berkeperluan khas (CBK), Ahmad Izzat Sohame @ Suhaimi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Telemong, Hulu Terengganu yang mengalami disleksia pula adalah calon CBK cemerlang negeri, dengan mendapat 4A, 2A-, 1B+, 1C+ dan 1C.

Beliau berkata, 88.50 peratus iaitu 16, 195 daripada 20,525 calon SPM negeri itu lulus penuh peperiksaan itu dan layak memperolehi sijil.

Menurutnya, lebih membanggakan 55.37 peratus pelajar lulus semua mata pelajaran kali ini meningkat 1.15 daripda tahun sebelumnya.

“Sekolah Menengah Imtiaz Besut, Besut pula dinobatkan sekolah cemerlang dengan GPS 1.64.  Manakala Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Nerus disenaraikan sekolah terbaik dengan 31.25 peratus pelajar mencapai A penuh.

Sementara itu, 25 daripada 54 mata pelajaran catat peningkatan gred purata matapelajaran.

Namun, pihaknya juga telah mengenalpasti beberapa subjek atau mata pelajaran yang telah menyebabkan pelajar tidak mendapat semua A+.

“Antara subjek yang kita kenal pasti ialah bahasa Inggeris dan matematik tambahan. Jadi pada tahun ini  (2018) kita akan bagi fokus kepada dua matapelajaran ini,” katanya.