MARANG  - Kerajaan Terengganu membuka satu lagi Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) bagi daerah Marang dan merupakan yang kelapan di bawah pengurusan YT, di Wakaf Tapai di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang berkata, pembukaan selaras dengan hasrat kerajaan negeri mahu mewujudkan satu sekolah Imtiaz di setiap daerah di Terengganu.

“Sekolah Menengah Imtiaz Marang ini beroperasi di bangunan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Tapai manakala asrama pelajar pula akan menggunakan kuarters kediaman guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai.

“Penempatan kekal yang dirancang oleh pihak Yayasan Terengganu ialah di Kampung Tok Munchong, Pengkalan Berangan yang dianggarkan berkeluasan lebih 10 hektar,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Perasmian dan Pendaftaran Penubuhan SM Imtiaz Yayasan Terengganu Marang di Wakaf Tapai.  

Hadir sama, Pengarah YT, Mohamad Sulong.

A Latiff berkata, matlamat utama penubuhan SM Imtiaz Terengganu di Marang itu ialah untuk melahirkan generasi Ulul Albab yang bercirikan quranik, ensiklopedik dan ijtihadik bagi melahirkan modal insan berkualiti.

Dalam pada itu, dua program khas hanya diperkenalkan di SM Imtiaz Yayasan Terengganu Marang ialah Interactive Coaching for Lerning and Academic Success Strategy (iClass) dan Internasional General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

iClass merupakan kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan bantuan kemajuan ICT tidak bergantung kepada kesediaan internet di sekolah dan proses pembelajaran adalah secara multimedia iaitu teks, video, gambar dan audio.

Manakala IGCSE pula merupakan kurikulum antarabangsa bagi pelajar dan merupakan kurikulum yang diiktiraf di seluruh dunia sebagai setaraf dengan Britih GCSE dan internasional GCE O-Level.

Sementara itu, difahamkan 100 pelajar yang dipilih untuk mengikuti pembelajaran di SM Imtiaz Yayasan Terengganu Marang mula mendaftar, semalam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Hampir 99 peratus pelajar tingkatan satu yang ditawarkan tempat di Sekolah Menengah Imtiaz menerima tawaran itu dan mula mendaftar di tujuh buah sekolah Imtiaz seluruh Terengganu hari ini bagi sesi persekolahan 2016.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.