KUALA TERENGGANU – Simulasi pengisytiharan kemerdekaan yang dibuat menerusi gimik dan lakonan membangkitkan nilai jati diri pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam.

Acara yang diadakan sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Sekolah pada 16 Ogos lalu membawa seramai 1,200 pelajar sekolah itu merasai pengalaman sebenar seperti digambarkan menerusi catatan buku sejarah.

Pengetuanya, Zaliha Mat Jusoh berkata, sekolah itu sentiasa tidak ketinggalan mengadakan pelbagai acara unik serta pengisian lain sempena sambutan bulan kebangsaan yang diraikan saban tahun.

Pelajar membawa Jalur Gemilang ketika acara gimik sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Sekolah SMK Seri Nilam.

 

“Kita ada pasukan pemikir yang bertindak untuk merangka kegiatan dan cara sambutan yang akan memberikan sesuatu nilai serta membangkitkan nostalgia yang sekali gus dapat dihayati dengan baik oleh setiap pelajar.

“Tahun ini kita menyesuaikan sambutan bertepatan dengan tema Sayangi Malaysia, jadi, para selain membuat acara gimik, guru turut mengenakan pakaian tema yang sesuai dengan tahun 1957 serta berkain batik bagi menutupi kepala sebagaimana pemakaian tradisional dahulu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Gimik Pelancaran, Mohd Noor Taib, berkata, bagi memeriahkan lagi acara itu, sebuah bendera berukuran 120x25 kaki dihasilkan oleh seramai 10 pelajar tingkatan empat dan lima serta enam guru sekolah itu.

“Sebanyak lima gulung kain digunakan untuk menghasilkan bendera itu yang mana kita cat dan asingkan menjadikan kepada 28 gulung supaya boleh dilepaskan dari tingkat bangunan sekolah untuk menghasilkan pemandangan bendera yang cantik.

“Kesemua pelajar dan guru bertungkus-lumus dari pagi hingga malam untuk menyiapkan bendera ini. Penyediaan bahan mengambil masa selama dua minggu manakala aktiviti mengecat ambil masa selama lima hari,” katanya.

Bendera besar dihasilkan oleh 10 pelajar dan enam guru yang menaikkan semangat patriotik selain memberi impak dan memukau pandangan.

 

Mohd Noor berkata, sambutan tahun ini lebih meriah dengan penghasilan sebuah kereta merdeka daripada kotak dan troli oleh beberapa guru pendidikan khas.

“Tradisi sambutan kemerdekaan memang meriah malah saban tahun kita akan buat kelainan dalam sambutan kemerdekaan dan ia akan diteruskan pada masa-masa akan datang.

“Sebelum ini kita hasilkan bendera dari 700 keping kotak pada 2017 dan kita pernah hasilkan bendera paling besar iaitu 180 kaki pada 2012,” katanya.