MARANG – Misteri kehilangan ternakan terjawab apabila seekor ular sawa batik sepanjang lebih kurang empat meter berjaya ditangkap selepas menelan seekor angsa milik seorang penduduk di Kampung Sentul Patah di sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Marang diketuai Sarjan Nik Mohd Firdaus Nik Mohd Redzuan mengambil masa 15 minit menangkap ular seberat lebih 50 kilogram itu.

Ular sawa itu ditemui pemilik ternakan terbabit di dalam tangki takungan air buangan selepas membuat pemeriksaan apabila mendapati seekor angsa miliknya kurang seekor.

‘Si batik’ itu dipercayai bersembunyi di dalam takungan air buangan apabila tidak dapat melarikan diri kerana kekenyangan dan sekumpulan anggota APM Marang itu tidak menghadapi masalah menangkap reptilia itu kerana ia tidak agresif.

Dalam pada itu, Pegawai APM Daerah Marang, Kapten Zabri Abd Razak berkata, ular sawa yang berjaya ditangkap anggotanya itu kemudiannya dibawa ke pejabat APM Marang dan ditempatkan dalam sangkar untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, beliau berharap orang ramai di daerah berkenaan yang menemui ular atau haiwan berbahaya yang lain agar tidak mengambil tindakan sendiri dan perlu segera menghubungi pihak APM Marang untuk tindakan.

“Ini kerana, kita tidak mahu mereka membahayakan keselamatan mereka dengan mengambil tindakan sendiri,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :