PERMAISURI - Tanah Bencah Setiu atau Setiu Wetland menjadi lokasi kedua kawasan tumpuan pelancong di negeri ini selepas Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.

Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang berkata, Setiu mempunyai banyak lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan pada masa akan datang.

“Setiu ada tempat luar biasa yang baru diteroka iaitu Setiu Wetland. Saya akan berusaha ke tahap lebih baik dalam pelancongan dan perkara berkaitan yang boleh dibangunkan di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Daerah Setiu Kali Ke-31/2018 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom.

Hadir sama, Pengerusi Puspanita Daerah Setiu, Sharifah Sabariah Abdullah.

Susulan itu, Rosdi  menyarankan kepimpinan politik dan kampung mencari ruang untuk menggarap usaha membangunkan masyarakat di Setiu agar setanding daerah lain di Terengganu.

Menurutnya, semua barisan perlu diperkemas supaya apa yang dirancang sekarang memberi gambaran baik kepada generasi akan datang.

“Marilah sama-sama berfikir dalam usaha mencipta cerita-cerita kejayaan. Biarlah tidak dikenang siapa memulakan kisah ini, asalkan apa yang kita tinggalkan untuk masa depan tidak membebankan cucu-cicit kita,” katanya.

Tambahnya, ia juga selari dengan apa yang sering disebut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengenai cerita kejayaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :