KUALA TERENGGANU - Seramai 99 peratus pelajar Politeknik Kuala Terengganu (PKT) bagi sesi Jun  dan Disember 2017 telah memperoleh pekerjaan di pelbagai industri dan agensi kerajaan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing.

Pengarah PKT, Radiah Che Su berkata, perkembangan positif dan membanggakan itu selaras dengan usaha serta matlamat PKT  dalam menghasilkan graduan yang menjadi pilihan utama industri, majikan dan pasaran pekerjaan.

Menurutnya, sejajar dengan perkembangan teknologi yang semakin mencabar, permintaan tinggi industri terhadap lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan (TVET) adalah setanding dengan lepasan universiti awam atau swasta.

“Menyedari potensi generasi TVET ini, kita telah memilih ‘Kesepaduan Generasi TVET Melestari Industri 4.0’ sebagai tema majlis konvokesyen pada kali ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen PKT ke17 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Naib Pengerusi Eksekutif Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd, Abdul Rahman Ali yang turut menyampaikan skrol konvokesyen  kepada pelajar. Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan ketua-ketua jabatan.

Seramai 227 graduan jurusan  Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan), dan Diploma Teknologi Maklumat (Rangkaian) bagi sesi Jun dan Disember 2017 menerima skrol masing-masing.

Dalam konvokesyen itu, pelajar Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Muhammad Ariff A. Khalid, 24, dipilih sebagai penerima Anugerah Pengarah Politeknik.

Dalam ucapannya, Radiah turut menyenaraikan pelbagai kejayaan yang diraih oleh PKT dalam bidang inovasi, penyelidikan, keusahawanan, sukan selain jalinan kolaborasi antara pelbagai agensi swasta dan kerajaan sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Diharapkan cerita-cerita kejayaan ini akan dapat membakar lagi semangat warga PKT untuk terus berjuang dalam mengharumkan nama PKT di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.

Sejak beroperasi pada tahun 1999, PKT telah melahirkan seramai 4,114 graduan pelbagai bidang dalam tempoh 19 tahun penubuhannya.