DUNGUN - Seorang penjaga kebun hanya mengalas perut dengan nasi kosong semata-mata gara-gara terputus hubungan selepas terperangkap dalam rumah akibat banjir di Kampung Delong, di sini.

Ng Ah Keong, 66, berkata, dia terperangkap dalam rumah selama seminggu dan berjaya menghubungi rakannya melalui telefon pada jam 12.30 tengah hari semalam.

Menurutnya, dia kemudiannya dibawa keluar oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Dungun.

"Saya bekerja menjaga kebun dan rumah majikan di kampung ini. Tiada sesiapa menyedari saya terperangkap di situ.

"Biasanya bekalan makanan di hantar oleh majikan tetapi sekarang dia sudah pulang ke kampung untuk meraikan Tahun Baharu Cina," katanya.

Ah Keong berkata, rumah majikannya tidak ditenggelami air namun kawasan sekeliling rumah banjir mencecah lebih satu meter.

“Rumah ini juga berhampiran sungai menyebabkan saya tidak keluar ke mana-mana dan hanya bergantung bekalan makanan yang masih bersisa.

“Bekalan makanan pun sudah habis hanya yang tinggal beras sahaja, jadi terpaksa makan nasi kosong ini sahaja," katanya.

Katanya, jika rakan-rakannya yang lain sibuk bersama keluarga untuk menyambut tahun baharu tetapi dia terpaksa menumpang di rumah rakan.

“Tiada apa boleh buat dan buat sementara waktu saya akan menumpang di rumah rakan untuk menyambut tahun baru.

“Saya sudah bekerja dan tinggal di Kampung Delong sejak lebih setahun lalu dan kawasan ini memang mudah dinaiki air apabila hujan berterusan,” katanya.

Seramai enam anggota APM Dungun terlibat dalam misi membawa keluar lelaki berkenaan ke kawasan selamat menggunakan sebuah bot dan sebuah lori delta.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • CYBERJAYA - Majlis Perbandaran Sepang menganjurkan program memancing 2017 dalam usaha bagi mengeratkan hubungan di antara penduduk di daerah tersebut.
  • KUCHING - Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud mahu supaya kerajaan negeri Sarawak meneruskan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan memandangkan kerjasama rapat dan sokongan padu daripada kerajaan persekutuan akan memudahkan perancangan serta pelaksanaan agenda pembangunan di Sarawak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.