KUALA TERENGGANU - Sebanyak RM380,000 peruntukan diperlukan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bagi membaiki kerosakan yang berlaku terhadap beberapa buah sekolah ekoran musim tengkujuh yang melanda negeri ini sejak November lepas.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussain berkata kerosakan yang berlaku katanya bukan sahaja akibat musim banjir tetapi angin kencang yang turut merosakkan atap dan siling di kelas-kelas sekolah yang terlibat.

"Sebanyak enam buah sekolah di beberapa daerah antaranya sekolah di Bukit Mentok, Kemaman dan sekolah di Padang Midin telah kita dapati berlaku pelbagai kerosakan antaranya atap yang diterbangkan angin, siling kelas runtuh dan pagar yang rosak.

"Kita telah pun memohon peruntukan tersebut kepada Kementerian Pendidikan dan kerja baik pulih kini sedang dijalankan dengan kebenaran (daripada kementerian)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Gala TTB Kemenjadian Murid Gen-T 2017 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, dekat sini malam tadi yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pada majlis itu, sebanyak 10 anugerah telah diadakan bagi menghargai jasa guru-guru dan para pelajar serta sekolah yang mencapai kecemerlangan tahun lepas.

Antara anugerah utama yang dipertandingkan ialah Anugerah Oscar TTB Murid Berkeperluan Khas (Perempuan) yang dimenangi oleh Nur Qasrina Batrisya Qaidil Azam dari Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu.

Bagi anugerah sama kategori lelaki dimenangi oleh Muhamad Hazim Basyir Norghani daripada Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Putra Besut.

Anugerah Oscar TTB Kategori Guru Sekolah Menengah (Lelaki) dimenangi oleh Asmawi Azman dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu, manakala Azreen Nabila Alias dari SMK Bukit Nenas, Setiu, memenangi kategori perempuan.

Pada majlis itu, SMK Bukit Nenas juga menerima Anugerah Oscar TTB bagi kategori sekolah menengah manakala Sekolah Kebangsaan Sungai Lerek, Setiu menerima anugerah itu bagi kategori sekolah rendah.

Semua pemenang menerima hadiah piala Oscar, wang tunai serta hadiah iringan. - Bernama