BUKIT TUNGGAL - Bertemakan merah, Sambutan Hari Raya Aidilfitri warga Kampung Pak Katak, di sini, berlangsung penuh meriah dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu.

Sambutan yang memasuki edisi kelima penganjurannya tahun ini juga turut mengekalkan satu keluarga satu juadah.

Pengarah programnya, Wan Rosli Wan Sulaiman berkata, aktiviti yang menjadi tradisi setiap tahun itu diadakan bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.

"Kita sedia maklum bahawa kebanyakan penduduk kampung telah berhijrah ke tempat lain untuk bekerja.

"Jadi, dengan mengadakan majlis sambutan hari raya sebegini ia merupakan peluang terbaik untuk penduduk kampung lebih mengenali antara satu sama lain.

"Malah, mereka juga cukup memberi kerjasama dengan turut memakai pakaian berwarna merah bagi memeriahkan lagi majlis," katanya.

Menurut Wan Rosli lagi, sejak diawal penganjuran majlis itu sebelum ini ia sememangnya dihadiri semua tanpa mengira fahaman politik.

"Soal politik kita tolak ke tepi kerana apa yang lebih penting adalah membina perpaduan dan memperkukuhkan hubungan dalam kalangan penduduk lebih utama," katanya.