KUALA TERENGGANU - Rata-rata mangsa banjir yang ditemui melahirkan rasa sedih dengan musibah banjir yang melanda kampung mereka sehingga menyebabkan barangan di dalam rumah rosak dan ada yang perlu dibuang.

Mangsa banjir, Jamilah Said, 41, berkata, apabila pulang ke rumahnya di Kampung Telari, Manir, Ahad lalu, dia amat sedih melihat keadaan rumah yang dipenuhi lumpur dan sampah sarap yang berkumpul di kawasan rumahnya.

Ibu kepada 12 anak itu menceritakan detik pertama pulang ke rumah selepas dua hari berada di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong.

“Masa sampai kat depan rumah, memang tak tahu nak cakap apa, sedih sangat tengok longgokan sampah yang dihanyutkan air ke kawasan rumah ini, perabot pun ada yang rosak dan sebagainya.

“Dalam keadaan kurang sihat, saya tetap menolong ahli keluarga lain membersihkan rumah kerana di dalam rumah dipenuhi lumpur manakala di halaman rumah banyak sampah, saya tidak tahan melihat keadaan itu selepas banjir surut,” katanya yang masih dalam pantang 14 hari, ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Jamilah dan keluarga reda dengan musibah yang dianggap paling teruk berlaku di kampung itu sejak dia tinggal di situ, 11 tahun lalu.

“Air dalam rumah paras lutut dan ada perabot seperti meja dan kerusi makan termasuk pasu bunga terpaksa dibuang kerana patah dan rosak teruk.

“Nak buat macam mana, memang tak sempat nak selamatkan meja ini (meja makan) kerana ketika banjir, air terlalu deras, lagipun ketika saya berpindah ke pusat pemindahan banjir, bayi baru lapan hari, nak angkat semua barang tak sempat walaupun ada keluarga yang membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Jamilah berharap bantuan kepada mangsa banjir dapat dipercepatkan supaya mereka dapat menggantikan barangan yang rosak.

Dia juga mengucapkan terima kasih kerana ramai yang simpati dan hulurkan sumbangan berupa barangan dapur kepadanya dan juga mangsa banjir lain sepanjang berada di pusat pemindahan itu.

Hanya tuhan sahaja yang tahu

Manakala bagi Wan Nur Fauziah Wan Husin, 26, pula, tangga di hadapan rumahnya di Kampung Baru Tetambah, di sini, turut pecah ekoran air deras di kawasan itu.

“Sepanjang tiga hari di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, saya sering memikirkan keadaan barang-barang di dalam rumah.

“Ketika pulang ke rumah Ahad lalu, hanya tuhan saja yang tahu perasaan saya, menangis dalam hati (sedih yang teramat) apabila melihat keadaan rumah yang dipenuhi lumpur.

“Tetapi dalam masa sama tetap bersyukur kerana barang di dalam rumah masih banyak yang dapat digunakan,” ceritanya.

Barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh tidak terjejas tetapi almari dan meja sofa rosak kerana berada di dalam air terlalu lama.

“Perabot (almari) masih ada yang boleh guna walaupun rosak di bahagian bawah, tetapi meja sofa perlu dibuang kerana rosak teruk.

“Barangan elektrik pun, saya baru buka petang semalam (kelmarin) kerana bimbang terjadinya kerosakan apabila tergesa-gesa menghidupkannya selepas banjir.

“Tikar getah juga banyak yang rosak dan terpaksa digunting buang yang rosak dan masih menggunakan tikar (getah) sama yang masih elok,” ceritanya.

Fauziah yang mempunyai bayi berusia sembilan bulan, Muhammad Nor Ammar Harash Nor Azman berkata, dia dan suami, Nor Azman Rani, 36, mengambil masa agak lama untuk mengemas rumah.

“Kami hanya bersihkan rumah ini sendirian walaupun ada juga badan bukan kerajaan dan sukarelawan datang membantu, tetapi kami lebih selesa mengemas sendiri.

“Sehingga hari ini (semalam) pun masih ada lagi ruang yang tidak dikemas terutama bahagian dapur kerana utamakan bahagian ruang tamu terlebih dahulu” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUNGAI PETANI - Seramai 29 mangsa di tujuh kampung di sekitar Kuala Muda terjejas akibat banjir kilat yang melanda susulan fenomena air pasang, di sini.
  • PONTIAN - Keadaan kawasan pesisir pantai di daerah ini masih terkawal meskipun berlaku limpahan air laut disebabkan fenomena air pasang besar berserta ribut di Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak, malam tadi.
  • GEORGETOWN - Sebanyak 34 keluarga melibatkan 108 orang di Teluk Kumbar, Balik Pulau dipindahkan ke pusat pemindahan apabila rumah mereka dinaiki air selepas hujan berterusan sejak awal pagi tadi.
  • KANGAR - Hujan lebat yang turun di negeri ini sejak awal pagi menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air, bagaimanapun sehingga tengah hari belum ada sebarang pemindahan mangsa banjir.
  • SEPANG - Sebanyak lapan keluarga di Kampung Salak Tinggi, Sepang di sini terpaksa berpindah ke pusat pemindahan di Balai Raya Salak Tinggi akibat banjir yang melanda petang kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.