KUALA TERENGGANU – Kepakaran dan penyelidikan terkini diperlukan dalam menghasilkan produk inovasi bagi menyediakan fasiliti untuk keperluan, kemudahan serta kepentingan warga orang kurang upaya (OKU) dan orang tua di tempat-tempat awam dan tempat kerja.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang berkata, ia sekali gus merealisasikan hasrat Terengganu sebagai sebuah negeri celik dan mesra OKU dan warga emas.    

“Kita memerlukan kepakaran dan penyelidikan terkini dalam menghasilkan produk inovasi dan kreativiti serta teknologi yang boleh kita cipta dari institusi penyelidikan awam dan swasta bagi menyediakan fasiliti untuk keperluan, kemudahan serta kepentingan  OKU dan warga emas di tempat-tempat awam dan juga tempat kerja.

“Supaya mereka boleh berdikari sendiri dalam menjalani kehidupan mereka dan seterusnya melahirkan masyarakat yang penyayang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup ‘1st  National Seminar On Elderly and Persons With Disabilities: Towards Independent Living' (NSED 2017) di PSKT anjuran Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan kerjasama Penyelidikan Orang Kurang Upaya Integrated Design (ORKID) di bawah kelolaan Universiti Malaya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Prof Madya Dr Wan Nor Liza Mahadi yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Seminar NSED2017 dan Presiden ORKID, Prof Madya Dr Ir Siti Zawiyah Md Dawal.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri sendiri juga meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kemudahan kondusif yang selesa termasuk di tempat-tempat awam, masjid dan surau, tandas awam, pejabat dan juga termasuk di taman awam untuk golongan tersebut.

Sementara itu,c berkata, bagi menyediakan kemudahan dan fasiliti yang lengkap, mungkin mengambil masa dan juga belanja yang tinggi, tetapi yang paling utama dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai supaya dapat membantu golongan itu di saat mereka memerlukan.

“Penekanan kepada peranan kita sebagai anggota masyarakat, jiran dan juga ahli keluarga yang prihatin. Sebagai contoh, apabila jalan untuk OKU belum siap, kita boleh tolong pimpin mereka.

“Itu telah menunjukkan kita celik dan mesra OKU dan warga emas,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KULIM - Golongan OKU termasuk OKU penglihatan memerlukan pendidikan untuk meneruskan hidup tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada orang lain.
  • SETIU - Ramadan tahun ini agak suram buat seorang warga emas yang baharu mengalami masalah penglihatan sejak kebelakangan ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.