AJIL - Kerajaan negeri bersedia menanggung kos rawatan pembedahan sumbing dan menyelesaikan masalah air dalam kepala seorang kanak-kanak dari Taman Ajil Perdana, di sini yang menghidap penyakit kepala besar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kes Nur Sofeatul Aiesha Zamani, 2, akan dirujuk terus kepada doktor pakar kanak-kanak dan kesediaan menanggung kos rawatan itu bertepatan dengan asas kerajaan iaitu membantu rakyat.

Menurutnya, hasil kunjungan ke rumah dua keluarga kelmarin, pihaknya melihat beberapa keperluan dan bantuan dapat disalurkan kerajaan untuk membantu mereka yang terlibat agar dapat menjalani kehidupan lebih baik selepas ini.

“Sebuah keluarga iaitu melibatkan seorang kanak-kanak yang alami masalah sumbing serta air dalam kepala, saya sudah minta rujuk dengan Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS),” katanya selepas Majlis Perjumpaan bersama Kakitangan Awam/Swasta dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Dewan Sivik Ajil, di sini, kelmarin.

Terdahulu, beliau menziarahi pesakit kronik di Taman Ajil Perdana bersempena Program Turun Padang ke Dun Ajil yang turut melibatkan pengisian lain seperti lawatan ke tapak monsoon drain serta ceramah agama perdana.

Turut mengiringi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri merangkap Adun Ajil, Ghazali Taib dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik.

Dalam perkembangan berkaitan juga, Ahmad Razif turut bersetuju melihat keperluan lain bagi pasangan adik beradik istimewa Erynn Elrina Mohd Hashim, 17, dan Danish Darwish Mohd Hashim, 13, yang menghidap cerebral palsy.

Katanya, bagi dua insan istimewa itu pihaknya akan meminta Adun Ajil melihat keperluan lain yang dapat disalurkan lagi untuk meringankan beban ditanggung keluarganya dan sementara itu kerajaan negeri akan bantu dari segi rawatan fisioterapi.

Untuk rekod, Nur Sofeatul Aiesha tidak dapat membesar secara normal dan derita ditanggung anak kedua pasangan Zamani Salleh, 42, serta Nur Faiz Mohd Rani, 33, itu menyebabkan kanak-kanak berkenaan sukar bergerak apatah lagi berat kepalanya kini kira-kira empat kilogram.

Kanak-kanak yang dikesan menghidap alobar holoprosencephaly ketika dalam kandungan ini turut mengalami masalah lelangit sumbing selain hanya bergantung sepenuhnya pada susu kerana tiada keupayaan untuk makan walaupun sekadar nestum.

Sementara itu, pasangan adik-beradik menghidap cerebral palsy ekoran lemas ketika proses bersalin merupakan anak sulung dan kedua pasangan Mohd Hashim Liew Abdullah, 49, serta Tuan Zaharah Tuan Zaik, 41.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :