JARANG sekali kita melihat golongan muda masa kini menceburi perniagaan membuat manisan atau ‘nisan kerek’, malah jika ada jumlahnya sedikit.

Berbeza dengan generasi muda lain yang berniaga dalam bidang makanan, Mohamad Faiz Shalqimie Mohd Kahni, 23, melihat peluang perniagaan dalam mengusahakan manisan warisan milik keluarganya.

“Saya menceburi perniagaan ini kerana minat.

"Saya nak tolong mak saya teruskan warisan nisan kerek ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Batangan.

Ibunya, Suri Abdul Ghani, 48, adalah pengusaha manisan tersebut sejak awal 2004 dan merupakan pemilik syarikat Manis Sokmo Enterprise yang memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sebelum terkenal.

Malah, majoriti penduduk di Batangan membuat manisan itu secara tradisional bezanya keluarga Suri berjaya mengembangkan perniagaan secara tradisional itu kepada komersial.

Kini, perusahaan diusahakan sejak 13 tahun lalu itu mendapat persijilan halal pada 2007 dan Skim Persijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri dan perlu menyediakan sebanyak 6,000 keping manisan sehari.

Mohamad Faiz berkata, bagi menyediakan manisan itu, air nira kelapa, gula dan daun mengkuang perlu digunakan.

"Kira-kira 40 liter air nira  diperlukan serta diambil dari kebun keluarganya di Jenang.

“Cabaran menyediakan nisan kerek itu adalah dari segi tenaga kerana kita memerlukan masa agak panjang namun ia menjadi lebih mudah apabila kami menggunakan teknologi terkini seperti mesin pengacau.

“Kebiasaannya kami akan menyediakan sebanyak 6,000 keping manisan sehari dan perlu ditambah ketika musim perayaan dan cuti sekolah untuk memenuhi permintaan,” kata pemegang diploma jurusan perniagaan itu.

Sementara itu, Suri berkata, dia bersyukur kerana lima anaknya termasuk Mohamad Faiz menunjukkan minat untuk terus belajar selok-belok perniagaan agar dapat meneruskan perniagaan warisan keluarga.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :