KUALA TERENGGANU - Terengganu menyasar untuk meningkatkan penyertaan  pelari antarabangsa pada Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) bagi meletakkan acara itu dalam kalendar sukan pelancongan terkenal dunia pada masa akan datang.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata lebih banyak promosi akan dilaksanakan menerusi Jabatan Pelancongan negeri bagi menarik penyertaan pelari profesional, khususnya dari luar negara.

"Pada tahun ini, 53,000 peserta menyertai LAJSM dengan 3,000 peserta dari negeri ini, 4,000 peserta  dari luar Terengganu manakala 1,000 lagi peserta dari luar negara seperti Kenya, Jepun, Amerika Syarikat, Laos, India, Perancis, United Kingdom, Singapura dan Indonesia.

"Kita berhasrat untuk menarik lebih banyak penyertaan pelari profesional dari luar negara sekali gus akan mempopularkan lagi Terengganu sebagai destinasi percutian terkenal di dunia," katanya kepada pemberita  pada majlis pelepasan peserta larian itu di Dataran Batu Buruk hari ini.

LAJSM 2018 menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM214,000 untuk 23 kategori.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri juga berharap lebih banyak pihak swasta akan menaja barangan mereka kepada peserta untuk penganjuran larian itu pada masa akan datang.

"Untuk penyertaan melibatkan berpuluh ribu orang seperti larian ini, pihak swasta berpeluang mempromosi produk dan perkhidmatan yang mereka tawarkan kepada peserta yang hadir dan sudah tentu ia mempunyai signifikan dalam konteks kerajaan-pihak swasta dan peserta.

"Kerajaan negeri juga akan menganjurkan lebih banyak program santai bersama keluarga seperti ini untuk mendidik masyarakat menjaga kesihatan mereka dengan menjalani gaya hidup sihat," katanya.- Bernama