KUALA TERENGGANU – Demi menjaga ibu yang kini berdepan dengan penyakit kanser pankreas tahap 4, seorang anak, Tuan Nor Shahida Afikah 19, sanggup menangguhkan pengajiannya bagi menjaga ibunya, Esah Jusoh, 49.

“Tak apalah, tangguh dulu pengajian sehingga ibu sihat.  Lagipun, saya anak perempuan sulung dalam keluarga, abang (Tuan Mohd Shafiq, 22) masih mengikuti latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), dua lagi adik masih bersekolah (Tuan Muhd Shakhir, 16, dan Tuan Nor Shakirah, 9). Saya rasa bertanggungjawab untuk menjaga ibu.

“Saya fikir, saya perlu jaga ibu dan saya membuat keputusan lupakan seketika sambung belajar.  Walaupun kawan-kawan lain sudah pun belajar di semester dua, saya tidak rasa kecewa kerana saya buat semua ini (tangguh pengajian) demi ibu,” kata pelajar Diploma Logistik Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang  itu.

Beliau berkata demikian semasa ditemui Sinar Harian di rumah sepupunya di Kampung Raja Baram, Chendering.

Menurutnya, kini dia dan ibunya tinggal di rumah sepupunya itu bagi memudahkan ahli keluarga yang tinggal berdekatan turut membantu menjaga ibu memandangkan ayahnya, Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 59, sudah tidak bekerja dan kurang sihat.

Sementara itu, Esah ketika ditemui, lebih banyak berbaring tetapi dimaklumkan boleh berjalan untuk ke tandas dengan bantuan kerana kesan penyakit yang dihidapinya itu menyebabkan dia mengalami sakit bahagian belakang yang serius.        

Bagaimanapun dengan tahap kesihatan terbatas itu, dia sempat meluahkan rasa terharunya dengan pengorbanan anak perempuannya itu dan kerinduannya untuk menguruskan rumah tangga sendiri dan mencari nafkah untuk keluarga.                            

“Makcik terharu…(pengorbanan Shahida), sanggup tangguh pengajian untuk jaga mak cik.  Makcik nak kembali sihat supaya dapat bekerja (jual nasi lemak) dan jaga (urus) anak-anak sendiri,” katanya.

Esah didiagnosis menghidapi kanser pankreas selepas mengadu kerap sakit belakang pada sekitar Oktober tahun lepas dan pada Januari baru-baru ini, dia juga baharu sahaja menjalani satu pembedahan bagi membuang hempedu.    

Bagi memastikan kesihatan kembali pulih, pihak keluarga juga bercadang untuk Esah menjalani satu lagi pembedahan di sebuah pusat rawatan swasta tetapi memerlukan kos hampir RM40,000 namun masih belum mencukupi.

Dalam pada itu, Nor Shahidah juga dalam proses membuat permohonan bantuan daripada beberapa jabatan dan agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk perbelanjaan tersebut.     

Manakala mereka yang ingin membantu Esah boleh berhubung di talian 014-8284698 (Shahidah).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :