KUALA TERENGGANU – Musim durian sudah tiba.  Namun, jika ingin menikmati keenakan rasa buah tempatan, harganya agak tinggi pada tahun ini, kerana dikatakan musim buah itu ‘kurang menjadi’.

Tinjauan Sinar Harian ke Pasar Besar Kedai Payang mendapati, ramai yang menjual durian tetapi kebanyakannya menjual durian dari negara jiran yang boleh dimakan sepanjang tahun kerana tidak bermusim.        

Perkara tersebut diakui seorang peniaga, Abdul Baasith Mohd Saifuddin, 20, berkata, lebih seminggu lalu dia mula menjual durian tempatan selain durian dari negara jiran.       

“Belum sampai tengah hari, sebanyak 30 biji habis dijual dengan harga RM35 sekilogram.  

"Namun, jika dibandingkan sebelum ini (tahun lalu), harganya mahal sedikit tetapi musim (durian) baharu sahaja bermula.

“Mungkin sedikit masa lagi, harganya turun dan lambakan durian pula. Tetapi, bagi penggemar raja buah ini, harga bukan isu jika rasa dan buah itu ‘menjadi’,” katanya.

Menurutnya, selain durian tempatan, durian ‘musang king’ turut menjadi pilihan kerana keenakan rasa buah itu, tidak hairanlah ada yang sanggup beli walaupun harga bermula RM40 hingga RM80 ke atas bagi satu kilogram.

Seorang lagi peniaga, Lukman Nur Hakim Sukry, 19 berkata, sebut sahaja durian, pastinya penggemar kecur liur memandangkan raja buah ini mempunyai rasa dan bau yang memikat hati.

Masih dapat permintaan

Menurutnya, walaupun di luar musim, penjualan buah itu tetap ada dan harganya juga meningkat sehingga mencecah ratusan ringgit sekilogram, namun masih mendapat permintaan ramai.

“Tetapi ramai pelanggan yang mula mencari durian tempatan memandangkan ada kawasan-kawasan tertentu buah tersebut sudah mula luruh.  Buah ada, tetapi masih belum banyak. Jika ada, kami bukan sahaja jual secara timbang tetapi secara longgok (borong),” katanya.

Menurutnya, harga durian bermula dengan pemborong dan pembekal dan permintaan yang tinggi menjadi faktor utama kenaikan harga durian.

Durian yang sudah dibungkus turut menjadi pilihan pengguna.

Sementara itu, seorang pembeli, Hayati Othman, 45, berkata, dia datang ke pasar tersebut untuk membeli durian kampung sebab yakin di situlah tempat pengumpulan jualan buah-buahan di bandar ini.

“Hajat di hati ingin membeli durian kampung, tetapi tiada pula. Tetapi disebabkan teringin makan, beli jugalah yang dibungkus siap ini (durian dari negara jiran),” katanya.  

Sementara itu, Sinar Harian sebelum ini melaporkan, musim durian kampung di Jertih, Besut  sudah tiba apabila raja buah itu mula gugur pada akhir Julai lalu.

Sejak itu, tepi-tepi jalan di sini mulai meriah dengan jualan buah yang menjadi kesukaan ramai itu.

Tinjauan Sinar Harian bagaimanapun mendapati durian musim ini tidak begitu menjadi kerana banyak pokok durian yang tidak mengeluarkan buah atau sekadar berbunga sahaja.

Ekoran kekurangan hasil kali ini dikatakan punca harga buah durian kampung yang menjadi buruan dan digemari ramai kini dijual dengan agak tinggi di daerah ini.

Menurut peniaga buah, Wan NorAzman Wan Setapa, 44 , harga durian kampung ditentukan oleh penghasilan durian pada sesuatu musim.

“Musim ini durian kampung di Besut tidak begitu menjadi. Hanya kawasan Jertih seperti Kampung Tok Raja, Pelagat, Seberang Jertih dan beberapa kampung lain sekitar sahaja menjadi sedangkan di kawasan Hulu Besut iaitu kawasan paling banyak dusun dan kebun durian tidak  menjadi.

“Hanya sebahagian kecil pokok durian sahaja di sana (Hulu Besut) yang lekat buah sehingga gugur,” katanya yang menjual buah durian di tepi jalan Kampung Mak Sara di sini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Kedatangan musim durian saban tahun antara Ogos dan September, di Kampung Jeram, Beserah di sini sememangnya dinanti-nantikan penduduk mahupun orang luar yang ingin merasai keenakan durian kampung di situ.
  • KUALA KRAI - Seorang pemilik kebun durian belanda di Kampung Enggong, dekat sini, tidak menduga buah ditanam di Permata Rimba sejak lima tahun lalu mampu mencapai berat sehingga 4.2 kilogram.
  • PEKAN - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyifatkan harga durian yang melambung di pasaran adalah disebabkan permintaan tinggi terhadap raja buah berkenaan.
  • SUBANG JAYA - Derma RM40 dan anda boleh nikmati raja buah serta buah-buahan tempatan hingga puas selama sejam di The Summit USJ pada 19 dan 20 Ogos ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.