WAKAF TEMBESU - Seramai 30 peserta tampil menyahut cabaran dalam Program Pengurusan Berat Badan 2018 yang akan berlangsung selama enam bulan itu.

Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Perumahan Wakaf Tembesu - Taman Desa Darul Iman Ceria itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat agar membudayakan amalan hidup sihat.

Pengerusi Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) Taman Perumahan Wakaf Tembesu - Taman Desa Darul Iman Ceria, Awang Sulong berkata, sepanjang tempoh enam bulan itu peserta akan dilibatkan dengan pelbagai aktiviti berkait pemakanan dan kegiatan fizikal.

"Dalam majlis yang berlangsung hari ini (semalam) juga kita turut memutuskan untuk mengadakan aktiviti senamrobik dua minggu sekali.

"Kita juga menyasarkan kesemua peserta yang terlibat ini mampu mengurangkan 10 peratus daripada berat badan sedia ada,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Program Taklimat Pengurusan Berat Badan 2018 di surau Taman Desa Darul Iman Ceria, kelmarin.

Taklimat disampaikan Pegawai Sains Pemakanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus, Noor Syahmun Muhd Noor.