MARANG - Sebuah keluarga dari Kampung Tebakang, di sini sudah terbiasa mendiami rumah usang termasuk dinding dan lantai rosak sementara bahagian bumbung bocor.

Ketua keluarga, Mohd Yasing Salleh, 52, berkata, rumah pusaka milik keluarga isterinya, Bedah Said, 44, sudah diduduki mereka sekeluarga sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurutnya, rumah itu bukan sahaja uzur malah kebanyakan daripada strukturnya seperti lantai dan dinding turut rosak selain atap bocor.

"Saya ini penebar roti canai di kedai orang sahaja. Mana mampu baiki rumah pusaka keluarga isteri ini. Sebelum dibaiki atap rumah bocor dan kami sudah biasa dengan keadaan tidak selesa ketika hujan.

Sebanyak tiga rumah dibaik pulih di Tebakang melalui program Touch Point.

“Saya segan nak minta bantuan dan pihak JKKK yang mencadangkan nama saya untuk menerima bantuan ini, syukurlah dan selepas ini kami tidak lagi perlu bimbang rumah dimasuki air hujan,” katanya.

Katanya, keluarganya juga berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjadikan rumah berkenaan lebih selamat dan dibaik pulih secara bergotong-royong sehingga selesai semalam.

Mohd Yasing adalah antara salah seorang penerima bantuan baik pulih rumah penduduk miskin di Tebakang, di sini melalui program Touch Point yang dilakukan dalam dua fasa dan dijangkakan siap sepenuhnya minggu depan.

Gotong-royong baik pulih rumah penduduk

Mereka yang layak ini dikenal pasti melalui Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu (PPPNT) dan usaha ini digerakkan melalui Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS).

Pendekatan diambil menerusi gotong-royong melibatkan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi, badan bukan kerajaan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk.

Difahamkan program Touch Point itu turut disasarkan ke daerah Dungun, Kemaman dan Kuala Nerus selain Marang yang keseluruhannya melibatkan 440 rumah.

Pengerusi JKKK Tebakang, Hassan A Rahman berkata, fasa pertama yang digerakkan dan melibatkan dua rumah telah selesai, sementara fasa dua membabitkan sebuah lagi rumah akan selesai minggu depan.

Menurutnya, kerja membaik pulih tiga rumah berkenaan dilaksanakan menerusi program gotong-royong dan kos maksimum bagi membaik pulih setiap rumah adalah RM10,000.

“Melalui pelaksanaan program ini ia membolehkan lebih ramai rakyat berpendapatan rendah dan miskin tinggal dalam keadaan rumah lebih selesa sebagai salah satu usaha membela nasib mereka.

“Ini bukti kerajaan sentiasa mengenal pasti pelbagai kaedah dan merangka pelbagai program demi kesejahteraan rakyat, terutama rakyat berpendapatan rendah,” katanya kepada Sinar Harian.

Program di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu turut mendapat kerjasama Pejabat Dun dan Parlimen, Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya, Majlis Daerah dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.