KUALA TERENGGANU – Rumah transit Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Terengganu yang disediakan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) sebagai bantuan penginapan sementara dijangka beroperasi tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud berkata, ia adalah rumah kuarters kerajaan di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu disediakan kepada mereka yang menghadiri prosiding kes di Mahkamah Syariah Terengganu.

Menurutnya, keutamaan diberikan kepada pelanggan BSK yang kurang berkemampuan yang tinggal di daerah jauh dari Kuala Terengganu atau luar Terengganu.

“Ia bertujuan melancarkan perjalanan prosiding kes di Mahkamah Syariah Terengganu sekali gus mengurangkan kes tertunggak akibat ketidakhadiran plaintif, pemohon, pemiutang penghakiman atau saksi khususnya yang tinggal jauh.

“Ketika ini, JKST sedang dalam proses memasukkan kelengkapan rumah bagi memberi keselesaan. Jika ia mula beroperasi nanti, ia dijangka boleh menempatkan tiga hingga empat keluarga dalam satu masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Siri 1/2017 Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di Kuala Terengganu, di Hotel Grand Puteri.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Pada majlis itu, seramai 79 penerima Siri Pertama 2017 menerima Bantuan Pendahuluan Nafkah Anak membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM139,850.

Sementara itu, seramai 79 ibu tunggal yang mengalami masalah tunggakan nafkah di Mahkamah Syariah Terengganu menerima sumbangan kewangan bernilai RM139,850 bagi  meringankan beban mereka terutama menyambut Aidilfitri.

Buat julung kalinya, Bantuan Pendahuluan Nafkah Siri 1/2017 Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu itu diberikan secara tunai berbanding kaedah terdahulu yang dikreditkan ke dalam akaun penerima.

Menurut Roslee, inisiatif pemberian secara tunai itu jelas menunjukkan komitmen tinggi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu yang prihatin dengan keperluan dan masalah isteri serta ibu tunggal khususnya.

“Tahniah kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) atas komitmen selama empat tahun berturut-turut dalam menyalurkan peruntukan wang zakat melalui Akaun Amanah BSK sejak 2014 lagi.

‘Tahun ini, peruntukan sebanyak RM200,000 diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun itu untuk diagih-agihkan kepada golongan ibu dan anak-anak yang mengalami masalah tunggakan nafkah anak di Mahkamah Syariah Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, sejak dimulakan pada 2014 sehingga 2016, seramai 319 orang menerima bantuan membabitkan peruntukan sebanyak RM490,860 dalam program yang turut mendapat kerjasama Maidam.