DUNGUN - Dugaan berat bagi seorang ibu tunggal, Che Wan Zalina Che Wan Mat Amin, 53 apabila rumahnya tiba-tiba terbakar dalam kejadian di kampung Kuala Jengal, kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan pantas penduduk kampung dan pasukan bomba menghalang kebakaran daripada terus merebak, sekali gus menyelamatkan rumah itu dari terbakar teruk.

Dianggarkan musibah itu menyebabkan kemusnahan rumah sebanyak 10 peratus tetapi ibu tunggal tersebut bersama anaknya tidak lagi selamat untuk tinggal di kediaman itu.

Che Wan Zalina berkata, melihat keadaan rumahnya itu, dia tidak berani mengambil risiko untuk terus menetap di situ.

“Sewaktu kejadian kami tiada di rumah, syukur rumah kami tidak terbakar keseluruhan tetapi hakikatnya keadaan di dalam rumah agak teruk.

“Saya bimbang jika terus tinggal di sini kerana membahayakan nyawa kami anak - beranak.

“Keadaan bumbung sudah tidak kukuh, begitu juga dinding dan ia boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Menurutnya, memandangkan rumah itu sudah tidak selamat, dia bersama anak berusia 14 tahun kini terpaksa menumpang di rumah ayah saya.

“Rumahnya di kampung ini juga dan dia juga diserang strok sekarang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Jaswari Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.08 tengahari dan bergegas ke lokasi.

“Sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota dikejarkan ke lokasi.

“Lokasi agak jauh ke pedalaman menyebabkan kami mengambil masa selama 39 minit untuk sampai.

“Ketika tiba, api telah berjaya dipadan oleh orang awam dan kita menyambungnya bagi memastikan api benar-benar sudah padam,” katanya.