HULU TERENGGANU - “Sebahagian struktur rumah saya runtuh akibat arus deras, apatah lagi paras air mencecah empat hingga enam meter. Banjir kali ini paling teruk selama saya tinggal di sini sejak kecil,” kata Rokiah Mamat, 54.

Menurutnya, banjir luar biasa itu turut memusnahkan semua barangan termasuk perabot dan peralatan elektrik meskipun sudah diletakkan di tempat tinggi, termasuk di atas rak dibina di dalam rumah.

“Rumah saya antara lokasi banjir saban tahun. Biasa hanya sekitar tujuh hingga lapan keluarga berpindah terutama yang tinggal berdekatan sungai, termasuk saya sendiri. Kali ini berbeza kerana jumlah bertambah secara mendadak berikutan banjir besar. Penduduk yang tinggal di lokasi lebih tinggi dan tidak pernah alami banjir turut terlibat.

“Banjir kali ini amat luar biasa, air bukan sahaja naik secara mendadak, tetapi juga begitu tinggi. Arus deras mengakibatkan sebahagian struktur rumah diperbuat daripada kayu runtuh. Ada juga barang dihanyutkan air. Saya anggar kerugian lebih RM15,000. Banjir kali ini lebih besar daripada kejadian yang pernah berlaku pada 1986 dan 1996,” katanya.

Suaminya, Jamal Abdul Rahaman, 60, berkata, berikutan paras air naik begitu cepat, dia sekeluarga bersama mangsa banjir lain hanya mampu menyelamatkan diri dan ahli keluarga kerana nyawa lebih utama daripada harta benda.

“Hajat sebelum itu memang hendak alihkan semua barang ke tempat lebih tinggi. Walaupun banyak barang sudah dinaikkan ke atas rak, namun tidak kesampaian kerana paras air naik mendadak dan lebih tinggi daripada yang disangka,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA KINABALU - Sebanyak 1,685 orang daripada 719 keluarga masih berada di enam pusat pemindahan banjir di Daerah Kota Belud dan Daerah Kecil Membakut, sehingga jam 8 pagi ini berbanding 1,613 daripada 692 keluarga malam tadi.
  • JOHOR BAHRU - “Hujan lebat dalam masa lima minit, air terus naik masuk dalam rumah, kami hanya sempat selamatkan barang penting dan arahkan cucu-cucu yang masih kecil ke balai raya,” luah Lahawiyah Abdul Latif, 69, penduduk Jalan Permatang 7, Kampung Kempas Baru, di sini.
  • GEMAS - Hujan lebat berterusan selama hampir dua jam menyebabkan lapan rumah penduduk di Taman Molek, di sini, dilanda banjir kilat.
  • KOTA BELUD - Seramai 120 mangsa daripada 79 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Masyarakat Tun Said selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan berterusan sejak semalam.
  • ALOR SETAR - Satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 46 mangsa banjir daripada 13 keluarga berikutan limpahan air sungai berdekatan di kawasan Bukit Pinang dekat sini, ditutup sepenuhnya 10.30 pagi ini.