MARANG - Walaupun rumah pusaka didiaminya lebih sedekad lalu hangus dalam kebakaran, namun Ketua Jabatan Amal Negeri Terengganu, Sauji Abdul Rashid, 39, tetap kelihatan tenang dengan dugaan yang menimpa keluarganya.

Dalam kejadian kira-kira  jam 12 tengah hari itu, rumah kayu milik keluarganya yang didiami bersama isteri, Siti Kharina Jusoh, 32, dan lima anak mereka musnah di kampung Temala Hilir di kawasan Dun Pengkalan Berangan, di sini, hari ini.

Beliau yang ditemui Sinar Harian di lokasi berkata, ketika kejadian berlaku dia berada di luar kawasan dan hanya mengetahui mengenainya selepas isterinya menghubungi kira-kira jam 12.15 tengah hari lalu terus menghubungi bomba.

Menurut Sauji, dia kemudiannya bergegas pulang ke rumah namun sebaik tiba di rumah, dia melihat kebakaran itu sudah memusnahkan seratus peratus tempat tinggalnya namun lega apabila dimaklumkan ahli keluarganya selamat.

“Saya pun tidak tahu bagaimana kebakaran ini boleh berlaku. Hanya isteri berada di rumah tetapi masa kejadian itu berlaku isteri keluar ambil anak di sekolah. Saya juga dimaklumkan ketika isteri meninggalkan rumah segalanya elok sahaja.

“Hanya dokumen penting anak-anak ada bersama saya…. Barang dalam rumah, sijil dan buku akaun simpanan Tabung Haji dan dokumen penting lain semuanya habis musnah,” katanya yang kini tinggal menumpang di rumah keluarga mertuanya.

Sauji berkata, dia sendiri sukar untuk menafsirkan nilai kerugian keseluruhan kerana selain perkakas asas rumah serta beberapa dokumen penting, pakaian anak-anak serta isteri dan peralatan elektrik turut musnah dalam kebakaran itu.

Dalam pada itu, sekumpulan lapan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Wakaf Tapai diketuai Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Wakaf Tapai, Suriati Arifin dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan untuk memadamkan kebakaran.

Sewaktu tiba api sedang marak dan pasukan terbabit berjaya memadam dan mengawal kebakaran dari terus merebak kira-kira jam 1.25 petang manakala punca kejadian itu berlaku dan nilai kerugian masih lagi dalam siasatan.

Dalam pada itu, Adun Pengkalan Berangan, A Latiff Awang antara yang awal tiba di kawasan kejadian dan sudah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan susulan bagi membantu mangsa.

Selain itu, beberapa pihak turut tampil menghulurkan bantuan termasuk Pengarah Majlis Tindakan Dun Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan ahli Jabatan Amal Negeri Terengganu serta penduduk kawasan berkenaan.

Bagi pihak yang ingin membantu meringankan beban keluarga terbabit boleh terus menghubungi Sauji di talian 014-210 0335.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung di ibu negara yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru akibat perbuatan khianat sekumpulan remaja baru-baru ini sebenarnya ‘wake up call’ kepada semua pihak supaya lebih cakna dan sentiasa peduli isu-isu sekeliling.
  • TAIPING - Sebuah kereta jenis Perodua Kelisa hampir musnah keseluruhannya selepas terlibat dalam satu kejadian kebakaran di Taman Pertama, di sini.
  • REMBAU - Sebuah stor di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rembau terbakar kira-kira 10 peratus dalam kejadian kebakaran, malam semalam.
  • LABUAN - Empat keluarga di Kampung Rancha-Rancha Darat di sini hilang tempat tinggal bila rumah kayu mereka musnah dalam kebakaran awal hari ini.
  • TELUK INTAN - Dua keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa mereka terbakar dalam satu kebakaran di Kampung Attaduri, Langkap, Khamis lalu telah ditempatkan di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Laksamana.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.