DUNGUN - Sebanyak RM8.22 juta diperuntukkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk pembiayaan perniagaan 2017 kepada 65 usahawan di daerah ini.

Pembiayaan itu adalah salah satu usaha berterusan Mara untuk membantu usahawan menjana pendapatan lebih baik meliputi bidang minyak, gas, pembinaan, peruncitan dan pembuatan.

Pegawai Pembangunan Masyarakat Dungun, Datuk Din Adam berkata, Mara turut memperuntukkan RM216, 000 kepada 10 usahawan tempatan menerusi program inisiatif melestari pembangunan Komuniti (Impak).

Katanya,  melalui Impak, Mara membawa semua program keusahawanan di bawah satu bumbung dengan menawarkan pelbagai khidmat.

“Usaha Mara dalam menerajui pembangunan usahawan di daerah Dungun dapat dilihat melalui beberapa usahawan yang berkebolehan dan berjaya.

“Contohnya perusahaan kedai gunting rambut di bawah program Hit harber yang usahawannya mampu membuka kedai sendiri.

“Begitu juga pemilik syarikat Kamal Tents Sdn Bhd yang juga pelatih Giatmara mampu menjadi peneraju utama dalam bidang pembuatan kanopi dan khemah di daerah ini,” katanya ketika hadir merasmikan program Impak  di Arena Square, di sini, baru-baru ini.

Sempena program Impak, Mara turut membuka pendaftaran bagi program Graduate Employabiliti Training Schene (Gets).

“Gets ialah program perantisan yang memberi persiapan latihan dan kemahiran kepada graduan untuk dipadankan dengan keperluan industri.

“Setakat ini, Gets merekodkan 8,000 pendaftaran sejak ia menjelajah 16 lokasi Impak di seluruh negara.

“Impak ialah kesinambungan usaha Mara dalam menerajui agenda pembangunan di luar bandar dengan pendekatan lebih dinamik,” katanya.

Empat fokus utama Impak yang digerakkan oleh Mara dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ialah pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan dan tanggungjawab korporat sosial Mara.