KUALA TERENGGANU - Gabungan 34 agensi di bawah Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu (MSPUT) telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM452 juta terhadap 36,022 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini, tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM34.45 juta diberi dalam bentuk geran pembangunan usahawan melibatkan 1,134 usahawan, 262 program promosi melibatkan 19,753 usahawan dan 489 program latihan membabitkan 36,783 usahawan.

“Usaha Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bersama MSPUT seperti Mara, SME Corp, Matrade dan KPDNKK selaras dengan dasar kerajaan bagi menggalakkan lebih ramai usahawan berkecimpung dalam dunia keusahawanan.

“Usaha sebegini secara tidak langsung akan memartabatkan lagi keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan dalam kalangan rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2018 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong.

Dalam pada itu, katanya, beliau menyarankan agar MSPUT dapat merangka pelan pembangunan usahawan bagi tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan usahawan PKS terus berdaya saing ke peringkat global.

“Pelan pembangunan ini boleh merancakkan lagi program pembangunan usahawan di Terengganu dengan mewujudkan lebih banyak program berkaitan seterusnya melahirkan lebih ramai usahawan berwibawa,”katanya.