DUNGUN - Anak kepada buruh menjadi satu-satunya peserta Empower Ecer yang memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016.

Intan Syahirah Yahaya, 13, yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik menerima sumbangan biasiswa daripada Universiti Sultan Zainal Abidin sebanyak RM3,000 bagi membantu mengekalkan kecemerlangannya.

Bayaran itu akan dibayar secara bulanan sebanyak RM50 sebulan selama tempoh lima tahun.

Menurutnya, dia akan memanfaatkan sebaik mungkin sumbangan biasiswa yang diterima dan akan belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.

"Saya bersyukur dengan sumbangan ini dan akan gunakan ia untuk keperluan belajar. Saya juga tekad terus kekalkan kecemerlangan dan beri sepenuh tumpuan ketika di dalam kelas.

“Saya kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Dungun dan mempunyai impian untuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),” katanya pada majlis penyerahan replika cek di rumahnya di Seberang Pintasan, di sini, baru-baru ini.

Menerusi latihan akademik Empower Ecer yang digerakkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bersama Universiti Sultan Zainal Abidin sasarannya adalah untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana lemah dalam pelajaran.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud.

Ibunya, Zarinah Mohd Dahani, 43, berkata, dia bersyukur kerana anaknya terpilih sebagai salah seorang peserta Empower Ecer kerana menerusi program yang diikuti dapat membantu anaknya untuk lebih cemerlang dalam pendidikan.

“Sebelum ikuti program ini, keputusan peperiksaannya kurang cemerlang tetapi dari hari ke hari semakin baik.

“Alhamdulillah, biasiswa diberikan membantu mengurangkan beban keluarga dan dapat digunakan untuk menampung keperluan belajarnya," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia hanya suri rumah sepenuh masa dan pendapatan suami pula tidak seberapa.

Pada 2017, seramai 1,259 pelajar termasuk Orang Asli terpilih menyertai program Empower Ecer latihan akademik.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - “Kalau boleh datanglah lagi.” Itu antara laungan diberikan lebih 700 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kepayang dan SK Sungai Raya diakhir pertemuan Siri Jelajah Perut Sihat Yeo’s Yeogurt bersama Sinar Harian, hari ini.
  • PASIR MAS - Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) merupakan platform terbaik untuk mengangkat martabat Murid Berkeperluan Khas (MBK) dalam kalangan masyarakat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.