KUALA TERENGGANU- Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM2.5 juta bagi membaik pulih hampir 2,600 buah rumah yang rosak akibat ribut di seluruh Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Sosial negeri, Hanafiah Mat berkata, peruntukan itu diluluskan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini.

"Peruntukan itu dimasukkan ke Tabung Darul Iman dan seterusnya disalurkan kepada mangsa ribut bermula 3 Ogos hingga Isnin lalu bagi membolehkan kerosakan rumah dibaiki dan keperluan lain yang diperlukan semua mangsa.

“Ini adalah bencana ribut yang paling teruk kita alami apabila Dun Wakaf Mempelam (Kuala Terengganu) paling teruk terjejas dengan 600 buah rumah terlibat diikuti Dun Buloh Gading (Kuala Terengganu) sebanyak 500 buah rumah," katanya.

Menurutnya, daerah lain seperti Kemaman, Dungun, Kuala Nerus dan Setiu hanya membabitkan antara 100 dan 300 buah rumah.

"Saya difahamkan ia disebabkan peralihan monsun tenggara kali ini yang sangat lama dan panjang,” katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Sementara itu, Hanafiah berkata, semua daerah akan memulakan mesyuarat selewat-lewatnya pertengahan bulan ini untuk mengenal pasti kawasan berisiko, selain memastikan proses awal dapat dijalankan sebagai persiapan banjir,

Beliau turut menyarankan semua daerah di negeri ini menjadikan prosedur operasi standard (SOP) banjir yang diguna pakai di Kemaman sebagai contoh bagi kawasan berisiko banjir.

“SOP bencana daerah Kemaman bukan sahaja terbaik di Terengganu, malah di negara ini dan saya harapkan daerah lain belajar dan mencontohi apa yang diguna pakai mereka dalam menghadapi bencana seperti banjir.

“Saya difahamkan, aplikasi yang digunakan mereka untuk mengumpulkan data menelan belanja RM3 juta dan ia sangat membantu dalam melancarkan tugas dan memudahkan bantuan disalurkan sewaktu bencana berlaku,” katanya.