KUALA TERENGGANU – Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM16.63 juta bagi projek Lembah Kaprima sejak mula dilaksanakan pada 2006, dalam usaha merealisasikan matlamat menjadikan Terengganu sebagai hab pengeluar kambing terbesar negara.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, projek itu dilaksanakan di lapan lokasi iaitu di Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu; Kampung Cabang, Kerteh (Kemaman); Segading (Hulu Besut); Hulu Seladang dan Telaga Papan (Setiu); Durian Mentangau (Dungun); Tanjung Gaduh (Marang) dan Mengabang Bakong (Kuala Nerus).

Menurutnya, enam projek tersebut berkembang dengan baik, namun dua daripadanya tidak berjaya kerana bermasalah.

“Kita dapati ia disebabkan masalah operator itu sendiri kerana bagi mereka yang mempunyai modal dan sikap keusahawanan, projek ini boleh berjaya. Ada antaranya kita dapati menghadapi masalah berkait dengan ahli kongsi dan bertukar ahli kongsi serta tidak cukup modal.

“Dua projek bermasalah ini di Telaga Papan dan Kampung Payang Kayu. Kita telah hentikan dan bagi tawaran terbuka kepada sesiapa yang berminat. Bagi Telaga Papan, tawaran telah diterima daripada sebuah syarikat pengendali kambing melalui ECER tetapi setakat ini kita tidak lihat lagi kesungguhan permohonan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) tentang kos keseluruhan yang dibelanjakan sejak projek ini dimulakan dan status projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Pehimi berkata, salah satu daripada projek berkenaan sangat berjaya iaitu operator projek berkenaan di Hulu Seladang telah dinobatkan sebagai penternak jaya kebangsaan pada 2016.

Katanya, melihat kepada perkembangan terbaru, kerajaan telah mengubah dasar yang mana syarat agar projek ini hanya dibenarkan 100 peratus kambing daging telah dilonggarkan.

“Setelah perbincangan dibuat dengan operator atau pengusaha, kita telah longgarkan beberapa syarat mengikut kesesuaian lokasi tempat mereka. Mereka dibenarkan mengusahakan 30 peratus dalam bidang yang lain, contohnya dibenarkan pelihara rusa, lembu sado, biri-biri atau kambing tenusu atau bertanam rumput yang menjadi sumber kepada ternakan mereka, juga kita benarkan.

“Ada juga permohonan supaya tempat mereka itu dijadikan sebagai tempat kunjungan sama ada daripada pelatih atau pelancong supaya menjadi sumber pendapatan kepada mereka, juga kita benarkan. Ini pendekatan baru yang kita buat supaya dapat mengatasi masalah mereka yang hanya tunggu hasil jualan dan bergantung pada kambing atau daging kambing semata-mata,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TELUK INTAN - Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemandu kenderaan berat yang melalui Jambatan Sultan Yusuf, Batu 5, selepas ia dibuka kepada kenderaan ringan 31 Disember lalu.
  • GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menaikkan wang pembayaran Program Penghargaan Warga Emas kepada RM130 berbanding RM100 sejak program tersebut diperkenalkan pada 2009.
  • PONTIAN - Keluarga Mahabob Hasimat, 54, nelayan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia sejak tujuh bulan lalu kerana menceroboh perairan negara itu, bersedia menerima apa juga perkhabaran terkini mengenai bapa mereka.
  • RANTAU PANJANG - Seorang bapa empat anak di Kampung Pusu 40, di sini, tidak dapat menjana pendapatan tetap selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
  • TANGKAK - Setiap ibu di dunia ini pasti mengharapkan anak yang dikandungkan lahir selamat dan sihat sempurna namun bagi Siti Norbaya Hamran, 33, beliau redha dengan ujian ALLAH SWT apabila bayi perempuan yang dilahirkan pada 28 Oktober 2017 disahkan menghidap jantung berlubang.