MARANG - Hujan lebat melanda Terengganu menyebabkan berlaku limpahan air di beberapa laluan utama di daerah ini termasuk mewujudkan ‘longkang air’ di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Presiden Persatuan Pengajar Memandu Malaysia (MyDIA), Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkara, keadaan cuaca tidak menentu ini boleh mendatangkan bahaya kepada pemandu jika tidak berhati-hati dan paling dikhuatiri mereka memecut tanpa menghiraukan keselamatan orang lain.

“Jika terlanggar ‘longkang air’ walaupun pada kelajuan kira kira 60 kilometer ia sudah cukup laju untuk menyebabkan satu keadaan dipanggil ‘hydroplane’. Kemungkinan kereta terbabas sangat besar.

“Terdapat banyak kawasan di LPT2 mempunyai ‘longkang air’ ini dipercayai disebabkan kegagalan pengukuhan permukaan turapan dan biasanya terjadi kerana tekanan daripada kenderaan berat,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau melalui pengalaman tersebut ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kuala Terengganu dengan menggunakan kemudahan LPT2 melalui laluan utama di daerah ini, semalam.

“Jadi pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati semasa melalui kawasan terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, antara laluan dilimpahi air di daerah ini apabila hujan lebat ialah Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di persimpangan lampu isyarat Taman Safiah Murni dan Pekan Bukit Payong.