KEMAMAN - Biarpun terpaksa berdepan punca pendapatan tidak menentu kini  namun seorang nelayan sungai masih setia menjual ketam nipah sejak 20 tahun sehingga sekarang.

Pendapatan turun naik yang diraih Zahari Mohd Alwi, 52, setiap bulan ibarat pasang surut air sungai langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjadikan pekerjaan itu sebagai mata pencarian tunggalnya demi menyara keluarga.

Bapa tiga anak itu bukan sahaja menjual ketam nipah yang diburu dan ditangkapnya sendiri malah turut membeli daripada nelayan sungai sekitar rumahnya.

Zahari berkata, keuntungan yang diperolehnya agak merosot beberapa tahun kebelakangan ini termasuk kekurangan tangkapan ketam nipah selain ramai orang lebih berjimat ekoran harga ketam nipah yang agak mahal.

Menurutnya, ketam nipah dijual mengikut saiz iaitu serendah RM30 hingga RM45 sekilogram.

Katanya, harganya agak mahal kerana kesukaran untuk menangkap ketam nipah itu sendiri ditambah dengan faktor kekurangan tangkapan yang diperoleh nelayan sungai sendiri.

“Nak tangkap ketam nipah bergantung pada pasang surut air sungai. Saya tangkap ketam ini guna bito dan perlu turun ke sungai untuk pasang bito waktu air tengah pasang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di gerainya semalam.

Katanya, ikan anjang-anjang digunakan untuk menarik ketam masuk ke bito yang dilabuhkan ke kawasan sekitar pinggir sungai.

Tambah Zahari, kawasan Sungai Kemaman yang berdekatan rumahnya menjadi punca rezekinya untuk melabuhkan antara 30 hingga 40 biji bito saban hari jika air pasang dengan menaiki bot gentian kaca miliknya.

“Paling banyak saya pernah dapat enam kilogram ketam nipah sehari dan paling sikit sekilogram sehari.

“Tapi walaupun banyak cabaran yang saya lalui saya bersyukur sebab tak pernah dalam sehari saya tak dapat jual ketam langsung. Akan ada juga terjual dan kalau ada yang tak habis, saya bawa balik untuk dijual esoknya pula.

“Ketam nipah ini dijual dalam keadaan hidup sebab isinya akan kekal manis,” katanya yang meraih purata keuntungan sebulan sekitar RM1,500.