KUALA BERANG - Tatkala ramai individu seusianya gemar luangkan masa beraktiviti bersama kawan-kawan, namun berlainan bagi seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang memilih lembu dan kerbau sebagai ‘rakan karibnya’.

Malah, tiada istilah bermain bola sepak di padang bagi Adib Aiman Nordin, sebaliknya dia akan bersama ‘rakan-rakannya’  setiap petang dan cuti sekolah terutama dengan kesayangannya iaitu Awang, si kerbau jantan serta Dogol (lembu jantan).

Dek kerana minat jugalah, anak kedua dari tiga beradik yang tinggal di Kampung Padang Tara ini tidak kisah berlumuran najis dan cekap menguruskan haiwan berkenaan selain turut mengetahui teknik menjerat kerbau.

Minat ternak haiwan sejak kecil

Berkongsi cerita, remaja yang lebih mesra dipanggil Adib ini berkata minatnya pada kerbau dan lembu bermula sejak kecil apatah lagi ayahnya, Nordin Mat Zin,40, serta arwah datuknya menternak haiwan berkenaan.

“Saya suka pada haiwan ini kerana lihat ia comel, kerana itulah saya selalu ikut ayah bukan sahaja ke kandang tetapi juga perkara lain berkaitan lembu serta kerbau seperti lihat orang sembelih atau melapah daging.

“Kalau kawan-kawan lain mungkin suka bermain bola waktu petang, tetapi saya suka berada di kandang begitu juga kalau cuti sekolah. Biasanya saya ke kandang selepas Asar hingga sebelum Maghrib.

“Walaupun tidak tahu bersosial tetapi saya tidak kisah asalkan dapat bermain dengan haiwan ternakan terutamanya Awang dan Dogol. Kedua-duanya paling saya sayang sebab sado dan comel.

“Saya rasa tenang apabila dapat usap badannya, bercakap dengannya biarpun tahu haiwan ini tidak berkata-kata. Tanduk Awang dilihat membahayakan tetapi kerbau jantan ini lebih manja berbanding Dogol,” katanya kepada Sinar Harian.

Mahu jadi penternak berjaya

Tambah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Berang ini, biarpun rakan karibnya cuma lembu dan kerbau, namun dia tidak kisah kerana minatnya itu dapat membantu ayahnya usahakan ternakan tersebut.

“Saya mungkin tiada kawan-kawan sepermainan tetapi dapat tolong ayah uruskan 16 ekor lembu dan kerbau yang ada kandang ini. Semuanya kerana minat serta kehendak diri sendiri.

“Antara yang dilakukan ialah memberi makan memandikan haiwan ternakan serta membersihkan najis di kandang. Saya juga tidak kisah walaupun minat ini menyebabkan saya terpaksa bergelumang najis.

“Mungkin masa ini saya hanya dapat bantu ayah uruskan ternakan tetapi saya bercita-cita untuk menternak lembu dan kerbau secara lebih serius selepas tamat tingkatan lima nanti. Kerjaya saya sebagai penternak.

“Biarlah tidak ‘glamour’ tetapi saya lihat penternakan ini punyai masa depan. Paling penting, ia kena dengan jiwa kampung saya, lagipun secara tidak langsung dapat warisi bidang ternakan yang telah diusahakan ayah dan arwah datuk dulu,” ujarnya.

Adib, pencinta haiwan: Ayah

Sementara itu, Nordin berkata dia dan isterinya, Tanti Suhila Mat Zin, 42, tidak pernah halang minat anak mereka itu sebaliknya sentiasa menyokong penuh kerana ia sesuatu yang bermanfaat.

Katanya, anaknya itu bukan sahaja minat pada ternakan lembu serta kerbau tetapi juga seorang pencipta haiwan dan turut gemar memelihara binatang lain termasuk kucing dan ayam.

“Dia (Adib) pernah menangis kerana kucingnya hilang dan sifat pencinta haiwan ini dilihat sejak kecil tetapi kian menjurus kepada ternakan lembu serta kerbau. Dunia permainannya cuma haiwan ternakan ini.

“Pernah dia kumpul duit termasuk simpanan duit raya bagi beli biri-biri untuk dipelihara.

Walaupun buat masa ini dia hanya bantu saya usahakan ternakan tetapi Adib telah punyai perancangan masa depannya sendiri.

“Berbanding abang, Afif Aiman, 17, dan adiknya, Muhammad Akid Aiman, 10, Adib dilihat lebih cenderung sukakan haiwan serta minat dalam bidang ternakan. Dia juga suka bergaul dengan orang dewasa berbanding rakan sebaya,” katanya.