KUALA BESUT -  Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dua buah rumah di Jalan Masjid, Kampung Tengah, di sini musnah dalam kebakaran pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi, sebuah rumah separuh papan dan batu sementara sebuah lagi rumah kayu sepenuhnya gagal diselamatkan berikutan api marak dengan cepat.

Seorang mangsa, Ahmad Fauzi, 30, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan ibunya, Azizah Mohamad, 56.

Menurutnya, sebaik terjaga keadaan di dalam rumah gelap kerana elektrik terputus dan ruang rumah dipenuhi asap.

“Ibu berjaya keluar melalui pintu depan manakala saya melalui pintu dapur selepas membuka kunci pintu jeriji,” katanya yang bekerja di Petaling Jaya, Selangor dan  pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina di rumah ibunya malam kelmarin.

Katanya lagi, sebaik keluar, ibunya memberitahu sepupunya, Siti Aminah Kamarulzaman, 15, masih tidur di dalam rumah.

Dia kemudian meredah asap tebal berbekalkan lampu suluh telefon bimbit masuk semula ke dalam rumah yang sedang terbakar untuk menyelamatkan sepupunya.

“Kami gagal selamatkan apa-apa dan tidak pasti punca kebakaran.

“Syukur ibu yang juga guru Kemas Kampung Pantai dan sepupu tidak mengalami kecederaan walaupun ibu mengalami sedikit sesak nafas kerana terhidu asap ketika keluar daripada rumah,” katanya.

Katanya, jika dia tidak pulang bercuti, ibunya yang juga ibu tunggal tinggal berdua bersama anak saudaranya (sepupu Ahmad) di rumah tersebut.

Sementara itu, menurut penghuni rumah kedua, Azhar Jusoh, 48, ketika kejadian dia sekeluaga tidak ada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri di rumah nenek isterinya di Sungai Tong, Setiu sejak pagi kelmarin.

Katanya, dia dihubungi jiran jam 6.30 pagi semalam memaklumkan kejadian itu.

“Saya bersama isteri, Che Siti Saupo Che Abd Rahim, 34, dan enam anak bergegas pulang namun sebaik tiba kami dapati semuanya sudah musnah,” katanya yang bekerja sebagai tukang rumah.

Dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang malah sebuah motosikal Honda Wave, tunai RM4,000, peralatan membuat rumah, empat buah basikal milik anaknya turut musnah dan kerugian dianggarkan RM70,000.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Mohd Zailani Abdullah berkata, sebaik menerima panggilan, sebanyak dua jentera bomba termasuk bantuan dari BBP Jertih dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, kebakaran tidak melibatkan kecederaan dan dapat dikawal jam 6.59 pagi terutama mengawal api daripada merebak ke rumah berdekatan.

“Punca kebakaran dan di mana api bermula dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Dalam pada itu, bantuan awal oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Penyelaras Dun Kuala Besut telah disalurkan kepada keluarga terbabit pagi semalam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Nur Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, kanak-kanak yang terselamat dalam kemalangan meragut nyawa lima anggota keluarganya di Segamat, Selasa lepas, mendapat perhatian isteri Tunku Mahkota Johor Che' Puan Khaleeda Bustamam yang berkenan berangkat melawat kanak-kanak itu di Hospital Sultan Aminah (HSA), di sini, hari ini.
  • IPOH - Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghina Nabi Muhammad SAW, tahun lalu.
  • KUALA TERENGGANU - Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan memohon kerajaan supaya menggantikan semula tukun dan unjam yang musnah yang dipasang sepanjang perairan Johor hingga Kelantan.
  • KUANTAN - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM59,071.24 dalam dua serbuan di daerah ini, semalam.
  • PELABUHAN KLANG - Kebakaran melibatkan sebuah bangunan rumah kedai di Jalan Ceniah berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba dan penyelamat, awal pagi tadi.