SETIU - Kerajaan mahu peluang perniagaan di negeri itu diceburi orang tempatan dan bukannya 'orang luar'.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu, Nawi Mohamad berkata, usah biarkan bukan bumiputera memonopoli perniagaan di negeri itu termasuk di daerah Setiu.

Menurutnya, biar lahirnya tauke-tauke atau perniagaan besar di negeri itu khususnya orang Melayu.

"Maaflah kalau saya terpaksa cakap di sini, bangsa lain merata mereka ambil peluang perniagaan, tetapi di mana kita (Melayu).

"Memang ini dasar kerajaan negeri dan pusat sekalipun, mahu melihat 100 peratus peniaga terdiri daripada orang Melayu atau bumiputera," katanya.

Beliau berkata demikian, ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pembangunan Daerah Setiu Berhad, di Permaisuri, di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua Koperasi, Rosdi Awang dan Pengerusinya, Dr Ibrahim Husin.

Nawi berkata, koperasi boleh memainkan peranan itu supaya lebih ramai bumiputera terlibat dalam perniagaan.

Koperasi mempunyai modal yang besar, dan berpotensi untuk maju sekaligus menguasai pasaran.

"Sebab itulah saya mengharapkan, ahli-ahli koperasi supaya memberi sokongan padu kepada koperasi mereka.

"Dengan sokongan ini, koperasi juga mampu mengaut keuntungan yang dapat memberi pulangan kepada ahlinya sendiri," katanya.