• Ahli RCJ Terengganu Ahli RCJ Terengganu berkumpul sambil menunjukkan poster tanda sokongan padu kepada pasukan keselamatan negara.
1 /

KUALA TERENGGANU - Rakan Cegah Jenayah (RCJ) Terengganu menyatakan sokongan padu terhadap kata dua diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Presidennya, Syed Mohammad Shamsuddin Tuan Azam berkata, keputusan yang diumumkan sebelum ini, sama ada kumpulan terbabit menyerah diri atau terima apa jua kesan daripada tindakan pasukan keselamatan negara adalah amat wajar.

“Bagaimanapun, kami berharap kumpulan berkenaan menerima tawaran menyerah diri dan keluar dari kawasan itu secepat mungkin demi keamanan negara kita,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan secara aman diadakan di Pejabat RCJ Terengganu, Flat Awam Hiliran, di sini, semalam.

Syed Mohammad Shamsuddin berkata, anggota RCJ Terengganu yang disertai seramai lebih kurang 2,000 ahli sentiasa bersiap sedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan terutama dari segi tenaga.

“Kami sebagai badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa memberi sokongan padu terutama menyentuh aspek keselamatan dan keamanan negara,” katanya.

Pada perhimpunan secara aman itu, seramai lebih kurang 50 anggota RCJ Terengganu di semua daerah turut serta berkumpul untuk menyatakan sokongan padu terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai pegawai polis yang terkorban di Lahad Datu, Sabah, Asistan Superintendan Zulkifli Mamat, 29, dari Besut, Syed Mohammad Shamsuddin berkata, pihaknya akan mengadakan kutipan sumbangan bagi meringankan beban keluarga Allahyarham.

“Walaupun kami tidak mempunyai peruntukan dana khas tetapi kami akan berusaha mendapatkan sedikit sumbangan untuk keluarga mangsa,” katanya.