HULU TERENGGANU - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) diharapkan mempertimbangkan permohonan sekaligus meluluskan peruntukkan pembinaan bangunan baharu Tabika Kemas Kampung Lubuk Periuk, Ajil, di sini.

Adun Ajil, Ghazali Taib berkata, kemudahan itu bakal memberikan lebih keselesaan kepada anak-anak daripada Kampung Peneh dan Lubuk Periuk sekaligus bagi pastikan kerajaan tidak terus menanggung kerugian berpanjangan akibat banjir.

“Bangunan sediaada berusia lebih 30 tahun. Selain dilihat kurang selesa untuk kanak-kanak belajar, bangunan ini juga saban tahun ditenggelami  banjir pada musim tengkujuh hingga menyebabkan banyak kerosakan berlaku.

“Melihat beberapa faktor inilah, kita merasakan pembinaan sebuah bangunan baharu Tabika Kemas Kampung Lubuk Periuk ini wajar dilaksanakan. Selain untuk kemudahan rakyat, ia juga langkah terbaik memandangkan banyak kerugian dialami akibat banjir.

“Oleh itu, kita minta KKLW, Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menilai kembali permohonan  telah dihantar. Tanah juga telah dikenalpasti dan dirizabkan untuk tujuan berkenaan.

“Sebelum ini, permohanan ditolak  dengan alasan tidak boleh dibina bangunan baharu kerana tiada tapak kekal hak milik jabatan (Kemas). Sekarang, kelulusan tanah telah perolehi untuk pihak Kemas membina bangunan baharu di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Dialog Bersama Rakyat sempena Program Turun Padang ke Mukim Hulu Berang 2017 ‘Bersama Menyelami Hati Rakyat’, di sini, kelmarin yang turut dihadiri Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik.

Tambahnya, pihaknya telah mengajukan permohonan terbaharu beserta lampiran permohonan daripada JKKK Lubuk Periuk dan amat mendukacitakan jawapan diterima adalah tidak diluluskan sedangkan sebelum ini alasannya kerana tiada tanah hak milik Kemas.

“Sebenarnya tiada alasan menolak permohonan kami sedangkan ini keperluan untuk kemudahan rakyat. Oleh itu, kami mohon pihak Menteri tengok apa yang sebenarnya hingga permohonan kami di tolak, perkara ini amat menyedihkan penduduk di sini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Lubuk Periuk, Yahaya Abdullah, berkata permohonan telah dibuat beberapa kali tetapi maklumbalas diterima amat mendukacitakan dan minggu lepas pihaknya sudah membuat permohonan kepada KKLW tetapi jawatan juga tidak seperti diharapkan.

“Sebabnya, tidak peruntukkan. Kita bukan minta sampai berjuta-juta, cuma perlukan  lebih kurang RM200,000 sahaja untuk bangunan lebih selesa  bagi kanak-kanak belajar sekaligus bangunan tidak ditenggelami air lagi jika banjir.

“Jumlah RM200,000 ini amat kecil bagi kerajaan Negeri atau Pusat.

Jalan raya dibuat berlapis-lapis di Kuala Lumpur lagi besar peruntukkannya kalau hendak dibandingkan, jadi saya harapkan KKLW tengok-tenggoklah masalah serta keperluan orang kampung ini

“ Ini bukan perkara baharu, sebaliknya permohonan telah dibuat sejak lapan tahun lepas lagi dan terus disusuli permohanan demi permohonan .

Benda ini sebenarnya boleh diselesaikan sudah lama, kita harap ia tidak terus berlanjutan kerana ini adalah imej kerajaan juga,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Seorang warga emas, Thanapakiam Subramaniam, 66, penghidap pelbagai penyakit kronik memerlukan bantuan orang ramai bagi menampung kos rawatan berjumlah kira-kira RM2,500 sebulan.
  • BAGAN SERAI - Seorang lelaki menderita menahan kesakitan hampir setiap hari setelah bengkak pada bahagian pipi kanannya semakin membesar dan serius.