JABI - Rakyat diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan tohmahan yang dilemparkan pihak tertentu kepada kerajaan melalui media sosial hari ini.

Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifly Jusoh berkata, banyak tohmahan dibuat terhadap kerajaan termasuk menyerang bertubi-tubi pucuk pimpinan bagi melemahkan sokongan rakyat.

Menurutnya, setiap tohmahan tersebut harus ditapis dan usaha pembangkang adalah strategi dicipta mereka untuk  memenangi pilihan raya.

“Rakyat diminta bersama-sama menyokong kerajaan sedia ada kerana kerajaan sedang berusaha keras untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Pemimpin Bersama Rakyat di Felda Selasih, di sini.

Hadir sama Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar. 

Sementara itu, dalam program sama, turut diadakan beberapa aktiviti antaranya pertandingan futsal, tendangan penalti bola padang, jaringan bola jaring, berbasikal kanak-kanak sekolah dan remaja, pertandingan gubahan dan gerai jualan.

Turut diadakan reruai Askar Wataniah dan beberapa jabatan lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengunjung turut berpeluang menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh Komuniti Sihat.

Manakala seramai 280 remaja dari beberapa kampung di Dun Jabi menerima dana Transformasi Orang Muda (TOM).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Kerajaan Selangor kesal tohmahan Tan Sri Noh Omar yang mengaitkan mengenakan premium yang tinggi ke atas tapak pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra.