KUALA TERENGGANU – Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mahu memberi tumpuan kepada penyediaan perumahan kepada rakyat berpendapatan rendah.

Bagi memastikan hasrat itu berjaya kata Raja Kamarul Bahrin, beliau berharap dapat kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri khususnya  negeri milik pembangkang berikutan pentadbiran tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Syukur atas pelantikan ini dan portfolio ini akan memberi peluang lebih luas untuk saya membantu Terengganu dan negeri-negeri lain. Isu perumahan di Terengganu dan Kelantan agak kritikal dan kita cuba beri tumpuan kepada rumah mampu milik dan kos sederhana.

“Dalam hal ini kita memerlukan rundingan terperinci bagaimana kita boleh bukan hanya cepatkan penyediaan rumah mampu milik tapi proses menyelesaikan isu tanah juga kerana tanpa tanah rumah tidak boleh didirikan dan tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Inilah harapan saya supaya kita dapat kerjasama yang baik dari negeri supaya isu-isu ini dapat diatasi demi kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui semalam.

Raja Kamarul Bahrin yang merupakan Pengerusi Amanah Terengganu juga akan menggunakan pengalaman dan kepakarannya sebagai seorang arkitek dalam melaksanakan tanggungjawab dalam isu-isu perumahan dan kerajaan tempatan.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada petang Selasa lalu.

Selain beliau, tujuh wakil lain turut mengangkat sumpah sebagai Senator iaitu Liew Chin Tong, Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Ismail Ibrahim, P Waytha Moorthy, Marzuki Yahya, Datuk Hussin Awang dan Asmak Hussin.