KUALA NERUS - Kawasan Lembah Takir bakal dijadikan lokasi rekreasi terbaharu di Seberang Takir dalam masa terdekat ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kawasan yang mempunyai keunikan dan dikelilingi paya bakau itu mempunyai nilai tersendiri.

"Buat permulaan kita akan tambun tanah di sekitar kawasan lembah ini bagi membuat laluan keluar dan masuk yang lebih selesa.

"Selain itu, kita juga bercadang untuk mendirikan sebuah dewan orang ramai yang berfungsi sebagai pusat aktiviti penduduk setempat.

"Selain suasana yang selesa dengan dikelilingi paya bakau, ia juga sesuai untuk mengadakan aktiviti keramaian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Perdana anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus di Lembah Takir, di sini.

Menurut Mohd Khairuddin lagi, kawasan Seberang Takir mempunyai banyak tarikan dan berpotensi untuk dimajukan.

"Kita juga sedang menilai potensi-potensi lain kerana telah menjadi hasrat kita untuk membangunkan kawasan ini sekaligus dapat meningkatkan peluang ekonomi kepada penduduk," katanya.

Sementara itu, hampir 200 penduduk mengambil bahagian dalam program yang turut melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.