KUALA TERENGGANU – Penjawat Awam dinasihatkan jangan ambil mudah dalam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam menghadapi PRU14 tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, sebagai  penjawat awam mereka perlu mengundi untuk memilih parti berwibawa untuk mentadbir negara.

Menurutnya, penjawat awam juga dikatakan sebagai tulang belakang kerajaan disamping memainkan peranan penting dalam membantu sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang awam.

“Saya fikir mereka bijak untuk membuat keputusan dan ini adalah peluang untuk mereka menentukan arah tuju dan sebagainya… Saya percayai kita bersama-sama menghargai akan sebuah negara itu.

“Sebagai penjawat awam biasanya kita berada di satu pihak yang mana satunya sebagai penjawat awam dan di satu pihak lagi sebagai orang awam dan juga sebagai pengundi yang perlu menunaikan tanggungjawab.

"Oleh itu, gunakan kebijaksanaan masing-masing untuk mengundi,”katanya ketika ditemui pemberita pada Program Wacana Khas Transformasi Nasional 2050 (TN 50) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Mengulas mengenai Program Wacana Khas TN 2050 Zainal berkata, beliau dapat mendengar keluhan dan aspirasi penjawat awam dari negeri-negeri yang terlibat.

“Saya percaya dengan forum sebegini kita membuka pintu lebih luas memahami citarasa penjawat awam negeri malahan saya percaya banyak idea yang telah dikemukakan yang boleh kita bawa ketengah untuk di teliti oleh pihak kerajaaan.

“Biarpun banyak inspirasi yang kita terima ini tidak bermakna  kita boleh tambah lagi inspirasi. Kita dapati kesemua negeri memberi pandangan berbeza khusus untuk meningkatkan kecekapan kita menyampaikan sistem kecekapan perkhidmatan awam,” katanya.

Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan pada program TM 50 Di Terengganu adalah mengenai beban pencukaian dan hasrat mereka penjawat awam.

"Kita lihat sistem pencukaian bagaimanakah yang sesuai untuk kita kenakan kepada penjawat awam dan kita dapati terdapat ruang-ruang yang boleh kita tambah baik.

"Selain itu, perkara ini akan diteliti dan dilihat bagaimana cadangan mereka ini boleh dipertimbangkan atau diambil kira dalam menyusun strategi bajet tahun-tahun akan datang," katanya.